Percepatkan pembinaan SMK Duyong – Adun
DUYONG 22 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abd Halem berharap projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Duyong dapat disiapkan segera.
Menurutnya, mengikut perancangan pembinaan sekolah itu sepatutnya siap pada penghujung Ogos depan namun ianya dilihat mustahil berdasarkan gerak kerja projek terbabit.
“Sepatutnya pembinaan SMK Duyong itu dijangka siap pada 28 Ogos ini tetapi projek itu tidak nampak perkembangan.
“Kita sekarang dalam perbincangan untuk disuarakan hal ini kepada Menteri Pendidikan berhubung kegusaran tengtang SMK Duyong ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Terlajak Raya Japerun Duyong, di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, di sini, malam tadi.
Noor Helmy berkata, pihaknya berharap pembinaan sekolah itu dapat disiapkan sebelum sesi persekolahan 2024 bermula.
“Permintaan saya satu sahaja kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buatlah apa sahaja asalkan sekolah itu dapat beroperasi pada sesi Mac akan datang.
“Apabila siap kelak, SMK Duyong itu mampu menempatkan kira-kira 900 pelajar,” katanya.
Mengulas lanjut, Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital berkata, selain perkembangan SMK Duyong, pihaknya juga turut meminta KPM untuk mempercepatkan pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Duyong II dan juga pembinaan dewan terbuka di SK Sri Duyong.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.