Percepatkan loji WTE di Sungai Udang

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

PAYA RUMPUT 19 Disember – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu mempercepatkan pembinaan loji Sisa ke Tenaga (WTE) di Sungai Udang mengatasi lambakan sampah di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang yang kini semakin tenat.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kelewatan pembinaan loji itu turut menimbulkan pelbagai masalah termasuk kewujudan tapak pelupusan sampah haram sehingga memberi kesan negatif kepada Melaka.

Katanya, penghasilan sampah purata kira-kira 1,000 tan setiap hari di negeri ini juga mengakibatkan tapak pelupusan itu tidak dapat menampung penghasilan sampah yang semakin meningkat.

“Tapak pelupusan sampah di Sungai Udang itu satu-satunya lokasi untuk pembuangan sampah dan jika dilihat jumlah penghasilan sampah hari ini, tapak pelupusan itu tidak boleh beroperasi dengan kadar lebih lama dianggarkan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.

“Jadi, antara penyelesaian yang dibuat oleh Kerajaan Pusat adalah membina loji WTE, namun sayangnya sehingga ke hari ini, masih belum dilaksanakan tetapi saya difahamkan isu bersama syarikat kontraktor dilantik belum lagi selesai.

“Saya berharap kita tidak ada ‘blaming games’ dalam hal perkara itu tetapi sudah tentu sebagai Exco bertanggungjawab kita akan mengambil tindakan segera.

“Difahamkan WTE di Melaka dibuka bersama WTE di Johor namun Johor sudah mula beroperasi tetapi sampai sekarang Melaka masih belum tuntas lagi dan masih ada perbincangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat TM Melaka dan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Paya Rumput di Kompleks Japerun Paya Rumput di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Melaka merupakan negeri yang tertinggi mempunyai tapak pelupusan sampah haram iaitu sebanyak 608 tapak dikenal pasti sejak Januari sehingga September lalu.

Menurut Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, bagi mengatasi masalah terbabit pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diarahkan untuk meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap tapak pelupusan haram tersebut.

“Kepada pelancong yang berkunjung ke Melaka, usah bimbang kerana Melaka diiktiraf negeri terbersih sekali gus menjadikan negeri ini mewakili negara pada Anugerah Asean Clean Tourist City Standard (2024-2026) di Laos,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1829
Kongsi :
Previous post Yuran penginapan pelajar baharu UNIMEL ditaja selama setahun
Next post PPSPM berwajah baharu sempena TMM2024
Ubah saiz-+=