Percepat vaksinasi sebelum buka kedai

Masa Membaca:2 Minit, 48 Saat

TANGGA BATU 17 Ogos – Pengusaha kedai cuci kereta dan gunting rambut di negeri ini menggesa kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin supaya sektor terbabit dapat dibuka tanpa sebarang masalah.

Ini berikutan, kadar suntikan dua dos di Melaka baru mencapai 39.1 peratus dan belum melepasi kadar 50 peratus mengikut syarat indikator ditetapkan bagi kebenaran pembukaan sektor itu bagi negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengusaha Eye On Carwash and Car Detailing, Ashwad Abd Rahim, 29, berkata, berita pembukaan semula sektor melibatkan perniagaannya dibuka amat menggembirakan, namun usaha itu perlu seiring dengan pemberian dos vaksin lengkap sebelum dapat beroperasi.

ASWAD.

Katanya, kes harian yang tinggi turut menjadi faktor untuknya tidak mahu membuka premis terbabit kerana masih tidak mendapat vaksin daripada kerajaan lagi.

“Lepas tiga bulan perniagaan ditutup, ada khabar gembira dari kerajaan, syukur, namun pada pandangan saya, kerajaan perlu segerakan pemberian vaksin kepada pekerja yang tergolong antara 11 sektor yang diberi kelonggaran beroperasi.

“Sekiranya pelanggan perlu menunjukkan lengkap dua dos dan tunjuk sijil digital kepada kami sebagai syarat, kami juga perlu meyakinkan pelanggan kami ini juga sudah lengkap dua dos untuk beri perkhidmatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Nada yang sama disuarakan Pengusaha kedai gunting rambut Jimmy Barber, Muhammad Nazmi Rosli, 26, yang berpendapat keputusan kerajaan memastikan vaksinasi lengkap dua dos sebanyak 50 peratus itu penting dalam mengekang penularan wabak COVID-19 khususnya antara tukang gunting rambut dan pelanggan.

MUHAMMAD NAZMI.

Justeru, dia berharap kerajaan negeri dapat merencanakan beberapa inisiatif yang berkesan dalam memastikan capaian vaksinasi dapat dipertingkatkan.

“Pada pendapat saya, kerajaan negeri patut mempercepatkan vaksin untuk orang yang masih dalam pendaftaran, begitu juga untuk dos kedua supaya kami boleh beroperasi semula seperti biasa.

“Kami mengharapkan kerajaan ataupun pihak yang berkenaan mempercepatkan urusan kami.

“Saya harap lepas ini kalau boleh masuk kedai pun, dalam empat orang untuk pelanggan dan tukang gunting sahaja, yang lain macam sistem ‘booking’ atau boleh tunggu di luar secara bergilir-gilir,” katanya.

ZAINIZAM.

Sementara itu, bagi Pengusaha ZM Carwash, Zainizam Mohamad, 44, mengakui pada awalnya gembira dengan pengumuman tersebut kerana boleh menjalankan semula perniagaannya seperti tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, selepas mengetahui keputusan di peringkat negeri Melaka, Zainizam berharap perkara itu dipertimbangkan semula kerana berpendapat pekerjaan itu tidak menyebabkan jangkitan tinggi wabak COVID-19.

Malah, dia yang menjalankan perniagaan cuci kereta sepenuh masa sudah membuat persiapan rapi untuk membuka semula kedainya sekiranya ada dibenarkan dalam masa terdekat.

“Saya menyambut baik sekiranya dapat beroperasi seperti biasa, bagi saya wabak ini dihadapi bukan di negara kita sahaja, seluruh dunia hadapi perkara yang sama.

“Jadi bila kerajaan umumkan sektor bersasar dapat dibuka, dapatlah saya dan rakan yang lain menjana ekonomi dengan mematuhi SOP yang betul ditetapkan kerajaan.

“Persiapan sudah dibuat, namun saya akur dengan situasi kadar vaksinasi negeri Melaka di paras rendah, saya cuma bersedia saja,” katanya.

Zainizam berkata, dia sudah melakukan penyelenggaraan untuk semua peralatan di kedainya dan 100 peratus bersedia untuk beroperasi pada bila-bila masa.

“Andai kata boleh beroperasi, insya-Allah tak ada apa pun masalah untuk mengganggu operasi,” katanya lagi.

Kelmarin, kerajaan membenarkan 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi dalam Fasa 1 PPN, berkuat kuasa semalam dengan syarat kadar vaksinasi negeri terbabit mencecah lebih 50 peratus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

950
Kongsi :
Previous post Awas tawaran watikah atau pingat kebesaran palsu
Next post UTeM berjaya jimatkan penggunaan tenaga RM9 juta
Ubah saiz-+=