Perbanyakkan kempen kesedaran mengenai tindakan undang-undang jika abai anak
KUALA LUMPUR, 19 April – Agensi kerajaan dicadang bekerjasama dengan badan bukan kerajaan bagi mengadakan lebih banyak kempen kesedaran kepada ibu bapa dan penjaga berhubung tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mereka yang cuai dan meninggalkan anak-anak tanpa pengawasan sewajarnya.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata golongan berkenaan perlu diberi banyak pendedahan berkaitan kesalahan itu yang boleh didakwa di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001, kerana masih ramai tidak cakna akan kewujudan akta berkenaan.
“Sebagai contoh di negara barat, jika ibu bapa didapati bersalah mendedahkan anak mereka kepada risiko akibat pengabaian mereka sudah pasti dipenjarakan.
“Malaysia perlu melihat sejauh manakah keberkesanan akta berkenaan yang dikuatkuasakan memandangkan kemalangan melibatkan kanak-kanak atau remaja bawah umur ini seakan tiada noktahnya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Lee berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ibu bapa dan penjaga yang tidak mengawasi pergerakan anak-anak mereka sehingga terlibat kemalangan seperti tersepit bahagian anggota badan di eskalator dan basikal lajak.
Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim berkata kegagalan ibu bapa memantau pergerakan anak-anak dan tidak peka dengan keadaan anak mereka adalah tragedi sebenar yang perlu diberi perhatian.
“Ibu bapa sewajarnya perlu sentiasa memegang tangan anak kecil mereka sewaktu menggunakan eskalator namun sebaliknya masing-masing sibuk dengan urusan sendiri terutamanya leka menggunakan telefon bimbit.
“Ibu bapa perlu pantau pergerakan anak-anak mereka dan lihat aktiviti yang mereka buat. Ini semua membantu mengurangkan risiko anak terlibat dengan aktiviti luar jangka sekali gus menjaga keselamatan mereka,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.