Perbaharui lesen niaga, dapat Jalur Gemilang

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 18 Ogos – Lebih 70 peratus premis di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menunjukkan komitmen tinggi dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, daripada kira-kira 7,000 premis di kawasan pentadbirannya itu, hampir 5,000 premis patuh kepada notis yang diberikan dengan mengibar Jalur Gemilang.

Katanya, walaupun masih ada yang gagal mematuhi arahan notis, namun tiada tindakan akan diambil, sebaliknya MPHTJ akan menggunakan pendekatan berbeza pada tahun hadapan.

Jelasnya, pendekatan itu ialah dengan memberikan Jalur Gemilang secara percuma apabila peniaga memperbaharui lesen perniagaan.

“Jadi, dengan pemberian percuma ini, peniaga atau pengusaha sesuatu perniagaan di bawah MPHTJ tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak mengibarkan Jalur Gemilang pada Bulan Kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang di Melaka Mall, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata, pihaknya telah memasang lebih 1,500 Jalur Gemilang di sekitar kawasan pentadbirannya.

“Kesemua bendera dipasang sendiri oleh penguatkuasa kita di tengah jalan, di sepanjang jalan-jalan raya di bawah kawasan pentadbiran MPHTJ ini, semuanya untuk menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan dan Sambutan Hari Malaysia pada bulan hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1300
Kongsi :
Previous post IPR bantu miskin tegar tingkat pendapatan
Next post Lelaki ditahan dipercayai terlibat 20 kes pecah stesen minyak
Ubah saiz-+=