Sorting by

×

PERBADANAN KETUA MENTERI RAIKAN RAKAN STRATEGIK PADA MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 24 April – Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) meraikan rakan strategik termasuk jabatan dan agensi Kerajaan Negeri berkaitan, pada penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang berlangsung di Kompleks CMI, di sini, hari ini.

Pengurus Besar CMI Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh berkata, pihaknya memanfaatkan penganjuran majlis itu untuk mempereratkan hubungan dan memperkukuh lagi jaringan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan.

Katanya, CMI amat menghargai kerjasama semua pihak berkenaan yang banyak membantu perkembangan perbadanan itu sejak mula ditubuhkan hingga sekarang.

“Kerjasama terjalin ini juga banyak membantu perkembangan pembangunan Negeri Melaka, dalam suasana hari raya kita berjumpa dan berkomunikasi dalam suasana lebih santai, bukannya formal seperti pada perjumpaan rasmi.

“Alhamdulillah, penganjuran ini berlangsung dengan meriah, meskipun jemputan kita cuma sekitar 300 orang tetapi tetamu yang hadir dianggarkan lebih 500,” katanya ketika ditemui pada penganjuran majlis rumah terbuka itu.

Ahmad Azlan berkata, antara hidangan disediakan untuk tetamu adalah ketupat, rendang, sate, mi rojak, kambing golek dan pelbagai jenis minuman.

Majlis bermula jam 11 pagi itu turut dihadiri Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd kalil serta Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Mohd Salleh Jusman yang juga mantan Pengurus Besar CMI.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

806
Kongsi :
Previous post RAYA AGENSI AGAMA ISLAM MELAKA MERIAH MACAM DULU-DULU
Next post 1,141 JEMAAH MELAKA TUNAI HAJI TAHUN INI, PALING MUDA 16 TAHUN