Peratusan pekerja mendaftar dengan kesatuan sekerja masih rendah
MARANG, 24 September – Hanya 9.6 peratus atau 960,000 daripada 10 juta pekerja di negara ini mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Malaysia (JHEKS), kata Ketua Pengarahnya Kamal Pardi.
Kamal berkata peratusan yang sangat kecil itu menunjukkan betapa rendahnya tahap kesedaran golongan pekerja terhadap kepentingan menjadi sebahagian daripada anggota kesatuan.
Beliau berkata perkara tersebut merugikan golongan pekerja memandangkan mereka boleh mendapat pelbagai manfaat melalui perundingan antara kesatuan sekerja dan majikan.
“Melalui perundingan pekerja boleh mendapatkan faedah yang lebih bukan sahaja dari sudut kewangan tetapi manfaat-manfaat lain yang akan menguntungkan mereka.
“Memang negara kita dah ada akta pekerja tersendiri yang melindungi golongan itu tetapi undang-undang tersebut agak minimum dan perlu kepada tambahan lain,” katanya kepada pemberita selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) 2.0 JHEKS Terengganu dan Kelantan di Asrama Perkaya di sini hari ini.
Justeru, Kamal berkata pihaknya menyeru supaya lebih ramai pekerja daripada sektor kerajaan dan swasta menganggotai kesatuan tersebut bagi memantapkan lagi peranannya dalam kalangan ahli.
Beliau berkata pihaknya juga sedang melaksanakan pelbagai kempen bagi menarik lebih ramai keanggotaan daripada seluruh negara.
“Sekarang ini kita ada 767 kesatuan sekerja di seluruh negara termasuk sektor kerajaan dan swasta. Kita harap lebih ramai lagi yang akan mendaftar selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Kamal berkata program CSR 2.0 JHEKS telah diadakan di 10 negeri dengan terakhir bakal berlangsung di Sarawak pada 15 Okt depan.
Menurut Kamal, selain agenda penyampaian bantuan, program tersebut turut membantu orang ramai mendapatkan peluang pekerjaan melalui kerjasama dengan syarikat dan majikan di Malaysia.
Katanya program hari ini turut mendapat kerjasama agensi lain seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)Â dan Pertubuhan Keselamatan Sosial Terengganu.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.