PERARAKAN 845 KENDERAAN, ASET PUKAU PENONTON

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDA HILIR 31 Ogos – Sorakan padu orang ramai bergema di Persiaran Jalan Merdeka, di sini, sebaik sahaja pelbagai jenis kenderaan berarak pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Melaka, hari ini.

Perarakan istimewa sempena kemerdekaan ke-67 itu membabitkan sebanyak 845 buah kenderaan daripada pelbagai jabatan, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, selain aset pasukan beruniform dan kelab-kelab permotoran.

Jumlah peserta terlibat pula adalah seramai 1,734 orang.

Antara kenderaan yang mencuri tumpuan adalah aset milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka.

Img 20240831 131013 418
AKSI ‘abang bomba’ antara yang mencuri tumpuan pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Melaka yang diadakan di Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Namun, yang paling mendapat sorakan padu pengunjung adalah ketika perarakan masuk aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang turut membuat lintas udara.

Img 20240831 131117 693
PERARAKAN kenderaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Melaka yang diadakan di Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Turut menyerikan suasana sambutan adalah perarakan beca, basikaldan kereta klasik, motosikal berkuasa tinggi serta konvoi penghantar makanan p-hailing.

Secara keseluruhan lebih 8,000 peserta daripada 161 kontinjen mengambil bahagian pada perbarisan dan perarakan peringkat Negeri Melaka tahun ini

Terdahulu, sambutan itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Turut bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab. Aziz; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Dianggarkan 40,000 rakyat Melaka dan pelancong membanjiri Persiaran Jalan Merdeka bagi memeriahkan sambutan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

417
Kongsi :
Previous post 40,000 SAMBUT MERDEKA DI BANDA HILIR
Next post GADIS BERBUSANA KLASIK BAWA SEMANGAT JIWA MERDEKA
Ubah saiz-+=