PerantiSiswa: K-KOMM sasar 80 peratus pengagihan menjelang akhir November
KUCHING, 20 September – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menyasar dapat mengagihkan 80 peratus peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia menjelang akhir November.
Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata sehingga semalam, pihaknya telah menerima 350,000 permohonan dalam fasa satu dan dua, dan jadual untuk penyerahan fasa satu sedang giat diatur.
“Untuk memastikan para penerima dapat menerima peranti dalam masa yang cepat, kita akan proses permohonan secara serentak untuk permohonan fasa satu dan dua. Kita juga akan melakukan pelancaran secara berterusan.
“Mana-mana pemohon yang kita dapati cukup syarat dan kelayakan kita akan terus beri kepada mereka yang telah berjaya,” katanya dalam satu sidang media selepas majlis penyerahan PerantiSiswa di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 411 pelajar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang dan IPG Kampus Tun Abdul Razak, menerima peranti tersebut dalam sesi pengagihan peringkat Sarawak yang bermula hari ini.
Setakat hari ini, jumlah permohonan yang telah diluluskan untuk Sarawak adalah seramai 7,400 pelajar.
Sebelum ini, Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) Bahagian Infrastruktur dan Aplikasi K-KOMM Hariaty Mohd Idrus dilaporkan berkata sebanyak 105,665 permohonan PerantiSiswa telah diluluskan setakat 14 Sept.
Hariaty berkata permohonan fasa satu dibuka bermula April hingga Mei, manakala permohonan bagi fasa dua dibuka pada 29 Ogos sehingga 30 Sept ini dengan sasaran keseluruhan 350,000 PerantiSiswa dapat diagihkan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.