PERANTI TABLET ‘PENYELAMAT’, BERI BANYAK MANFAAT KEPADA PELAJAR
AYER KEROH 16 Januari – Pemberian peranti berupa tablet kepada pelajar dalam kelompok keluarga B40 menerusi Program Anak Kita memberi pelbagai manfaat untuk kegunaan pembelajaran.
Seramai 713 pelajar yng merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 daripada 61 sekolah di negeri ini menerima peranti tersebut menerusi Majlis Perasmian Penyampaian Kit Peranti dan Sijil Kolaboratif Program Anak Kita Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, hari ini
Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah, Jasin, Kamarul Aqmar Danish Kamarul-Anuar, 17 berkata peranti tersebut dapat membantu proses pembelajarannya lebih mudah tanpa mengira masa.
“Pada saya sumbangan peranti ini memang banyak membantu pelajar sekolah, apatah lagi di zaman digitalisasi ini semuanya di hujung jari.
“Peranti ini memudahkan untuk kami (pelajar) mengakses carian mudah kerana mempunyai pelbagai perisian moden serta maklumat lebih banyak yang tidak terdapat dalam buku teks sekolah selain ia juga mudah dibawa kemana-mana,” katanya.
Nada sama turut disuarakan pelajar SMK Datuk Bendahara, Jasin, Nor Husna Umairah Kamil, 17, yang menyifatkan peranti tersebut mampu menyelesaikan pelbagai kekangan yang dihadapinya sebagai pelajar.
“Pada saya, peranti ini merupakan penyelamat kerana jika sebelum ini sukar untuk saya mendapat maklumat dan perlu ke perpustakaan atau pinjam komputer riba ibu untuk laksanakan tugasan, namun kini tidak lagi.
“Memang memudahkan urusan pelajar yang mempunyai kekangan ekonomi sekaligus memberi manfaat yang banyak sebab tidak perlu pergi tuisyen atau kelas malam kerana semuanya boleh didapati secara dalam talian menggunakan peranti ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.