Sorting by

×

Perangkap maut pantai Tanjung Bidara

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

TANJUNG BIDARA 6 Okt – Keindahan pantai peranginan Tanjung Bidara yang dikelilingi hutan semula jadi menarik tumpuan pengunjung untuk berkelah dan beriadah pada cuti hujung minggu bersama keluarga.

Namun, di sebalik keindahan pantainya yang jernih dan panorama indah menjelang lewat petang itu sebenarnya menyembunyikan satu ‘perangkap maut’ yang sudah tersedia di situ sejak lebih 10 tahun lalu.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) pada bangunan jeti yang terdapat sebelah menara kawalan pusat operasi menyelamat Angkatan Pertahanan Awam (APM) mendapati laluan masuknya ditutup ekoran kerosakan pada beberapa bahagian bangunan akibat dipukul ombak dan angin kuat.

ZAINAL menunjukkan bahagian bangunan jeti yang rosak dan meninggalkan kesan cerucuk yang tidak kelihatan apabila air laut pasang.

Pada bahagian bawah dan bumbung pada hujung bangunan jeti itu didapati telah rosak sejak sekian lama dan kepingan besi jelas kelihatan tercacak ketika laut surut.

Keadaan itu berbahaya terutama pengunjung yang menceroboh kawasan jeti untuk mandi-manda tanpa menyedari bahaya menanti.

Seorang penduduk, Zainal Mohd Amin, 65, berkata, dia difahamkan berapa pengunjung pernah mengalami kecederaan serius setelah memasuki kawasan jeti untuk melakukan terjunan dari situ ke pantai.

“Biasanya kanak-kanak sebab mereka teruja, lebih-lebih lagi tiada kawalan ibu bapa, memang laluan sudah ditutup tetapi ada pengunjung sanggup memanjat untuk masuk.

“Kalau dibiarkan keadaan ini berlanjutan, saya bimbang selepas ini mungkin akan ragut nyawa pula,” katanya ketika ditemui.

Sadikin Mansor, 34, berkata, dia ada menegur pengunjung pantai yang kebanyakannya datang dari luar Melaka ketika mereka cuba menceroboh masuk ke jeti.

KANAK-kanak sedang bermain pasir pantai di tepi bangunan jeti yang rosak dan usang di Pantai Tanjung Bidara.

“Itu yang kita nampak, kalau yang kita tidak nampak…bagaimana?. Pernah sekali, ada yang cuba masuk pada waktu malam, semata-mata mahu merasai keseronokan untuk terjun dari atas jeti.

“Saya amat berharap agar pihak berkuasa dan Majlis Perbandaran Alor Gajah dapat berbuat sesuatu tentang jeti yang rosak ini.

“Selain mengundang bahaya yang tidak disangka, ia juga mencemar pemandangan dan imej keindahan pantai Tanjung Bidara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4398
Kongsi :
Previous post UMNO sedia berunding dengan Bersatu, kata Rauf
Next post Sulaiman hadir sidang khas COVID-19 secara maya
Ubah saiz-+=