Sorting by

×

‘PERANG’ DODOL PANTAI KUNDOR

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

PANTAI KUNDOR 18 Mac – Meriah bagaikan malam raya..Itu suasana yang dapat dilihat di Pentas Budaya Pantai Puteri, di sini, menerusi Program Kacau Dodol anjuran Japerun Pantai Kundor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, acara tahunan yang diadakan itu lebih istimewa tahun ini apabila ia bukan sahaja membabitkan penglibatan masyarakat tetapi juga pelbagai agensi yang ada di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri memaklumkan, program itu melibatkan lebih 36 pasukan terdiri daripada 20 cawangan UMNO Pantai Kundor bersama-sama 16 jabatan, agensi, pihak swasta dan sekolah yang bersama-sama berganding bahu menyiapkan dodol untuk diagihkan.

Jelasnya, antara jabatan dan agensi terlibat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Jabatan Penjara Malaysia; Jabatan Kesihatan Negeri Melaka; Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta pelbagai lagi.

“Kesemua yang terlibat akan dibahagikan mengikut kumpulan di mana dalam setiap kumpul terdapat wakil cawangan dan agensi yang bersama-sama mengacau dodol sejak berbuka puasa hingga malam.

“Menariknya, kali ini juga kami dapat melibatkan sekolah dalam DUN Pantai Kundor, di mana ia bukan sahaja membabitkan pengetua dan guru, tetapi juga pelajar yang telah menambah kemeriahan program tahun ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program berkenaan, malam tadi.

Whatsapp image 2025 03 17 at 22.16.15
TUMINAH bersama wanita membuat kuih siput.

Menurut Tuminah, selain dodol yang dimasak kaum lelaki, kaum wanita turut tidak ketinggalan menyediakan beberapa jenis kuih tradisional yang sinonim dengan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri iaitu kuih lidah buaya, kuih siput dan onde-onde.

“Saya bersyukur dan sangat seronok melihat kerjasama yang dipamerkan ini. Insya-Allah kita akan terus jadikan kemeriahan program ini sebagai acara tahunan dalam mengeratkan ukhuwah di antara pemimpin, masyarakat dan pelbagai agensi,” katanya.

Terdahulu program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Rais Yasin.

Rais ketika ditemui memuji inisiatif DUN Pantai Kundor menggabungkan kepimpinan masyarakat dan pelbagai agensi serta pihak swasta dalam menonjolkan lambang permuafakatan yang erat.

Malah, ujar beliau, program seumpamanya juga turut menampilkan generasi muda dan wanita, sekali gus memberi contoh bahawa kepimpinan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berjaya menyuntik semangat kerjasama dalam suasana cukup harmoni.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post 4.8 TAN MAKANAN DISELAMATKAN DI MELAKA
Next post PENGAYUH BECA TIDAK DILUPAKAN KERAJAAN MELAKA