Peralihan ke fasa endemik perlu dibuat berhati-hati – Agong
KUALA LUMPUR, 28 Feb – Peralihan Malaysia menuju ke fasa endemik COVID-19 perlu dilaksanakan secara berhati-hati, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Seri Paduka bertitah Malaysia berada di kedudukan ke-13 dari 122 negara dalam indeks pemulihan COVID-19 Nikkei Asia dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah berjaya mencapai liputan vaksinasi lengkap sehingga 98 peratus populasi dewasa.
Titah Seri Paduka sebagai langkah pertahanan menghadapai penularan varian baharu, rakyat diseru mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19.
“Bagi memastikan imuniti kekal pada tahap optimum dan sebagai benteng dalam menghadapi varian baharu, beta menyeru agar rakyat beta untuk mendapatkan dos penggalak menerusi program yang sedang dilaksanakan kerajaan.
“Walaupun negara kini semakin bersedia untuk beralih ke fasa endemik, beta berharap agar peralihan ini dilaksanakan secara berhati-hati,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini.
Al-Sultan Abdullah turut menyokong Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan dan tindakan afirmatif kerajaan untuk mengurangkan harga kit ujian kendiri sebagai langkah pengukuhan tindakan kesihatan awam dan pemerkasaan komuniti.
“Melalui pendekatan ini, pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial boleh direalisasikan secara selamat,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong turut menghargai Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) termasuk strategi pembangunan vaksin sendiri, sebagai usaha meningkatkan kesediaan negara mendepani pandemik dan ancaman wabak lain pada masa hadapan.
Selain itu, Seri Paduka juga menyambut baik Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental 2020-2025, yang dirangka bagi menangani isu kesihatan mental rakyat terutama yang terkesan akibat pandemik COVID-19 melalui pelbagai langkah intervensi dan bantuan.
“Beta menyeru kepada rakyat beta supaya terus memelihara kesihatan termasuklah kesihatan mental dan sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat bagi menjayakan matlamat agenda nasional ‘Malaysia Sihat’,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah menyokong aspirasi kerajaan untuk merakyatkan sains dan menginsankan teknologi kerana pembudayaan sains melalui inovasi sosial bakal melahirkan modal insan yang bersifat altruistik dalam menangani isu kemiskinan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Beta berharap kerajaan akan terus memperkukuh program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi dalam bidang keutamaan termasuk kecerdasan buatan, robotik,bio-sains dan angkasa,” titah Yang di-Pertuan Agong.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.