Peralihan endemik: 500,000 pelancong asing masuk Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 19 Mei – Kira-kira 500,000 pelancong asing masuk ke Malaysia selepas pintu sempadan antarabangsa dibuka sebaik negara memasuki fasa peralihan endemik, 1 April lalu.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara J.P berkata, angka tersebut dijangka terus meningkat selepas jumlah penerbangan antarabangsa dijangka meningkat 300 peratus selepas ini.

Walaupun pelancongan negara mengambil sedikit masa untuk pulih, namun beliau percaya sasaran dua juta pelancong asing ke Malaysia dapat dicapai selepas beberapa negara sasaran mula membuka sempadan secara berperingkat.

“Kita menjangkakan sehingga dua juta pelancong asing masuk ke Malaysia sehingga hujung tahun ini.

“Namun saya percaya jumlah itu akan terus meningkat sehingga angkanya tiga hingga lima juta pada tahun ini susulan Menteri Pengangkutan telah membuat kenyataan penambahan penerbangan sebanyak 300 peratus.

“Saya yakin ini akan membawa lebih banyak pelancong dari luar negara. Kita banyak mendapat pelancong dari China, India dan Arab,” katanya.

Santhara J.P

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Jerayawara Dasar Kebudayaan Negara Peringkat Negeri Melaka di Panggung Seri, Ayer Keroh hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias.

Mengulas lanjut, Santhara berkata pihaknya juga akan memudahkan proses permohonan VISA pelancong luar ke negara ini dalam menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1256
Kongsi :
Previous post Pembantu tadbir rugi lebih RM30,000 diperdaya Macau Scam
Next post Ab Rauf kekal Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka – sumber
Ubah saiz-+=