Sorting by

×

Perak batal tender jual tapak bekas Istana Raja Muda di Teluk Intan

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

IPOH, 21 Feb – Kerajaan negeri Perak telah membatalkan pelaksanaan proses tender terbuka penjualan tapak bekas Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya membuat keputusan itu setelah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak untuk menjual tapak bekas istana berkenaan secara tender terbuka bagi laluan pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur.

“Setelah pelbagai penelitian dibuat, kita telah membatalkan tender tersebut. Kita juga tidak akan menyewa tapak bekas istana itu kepada mana-mana pihak,” katanya ketika diminta mengulas mengenai status pelaksanaan proses tender penjualan tapak bekas istana berkenaan.

Saarani berkata pada sidang media selepas merasmikan Rangkaian Infrastruktur Jalur Lebar Allo Technology peringkat negeri Perak dilaksanakan anak syarikat Tenaga Nasional Berhad, Allo Technology Sdn Bhd di sini hari ini.

Pada September lepas, Saarani berkata kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan proses tender penjualan tapak bekas istana itu bagi membolehkan beberapa kajian terperinci selepas mengambil kira pandangan dan bantahan beberapa pihak.

Media sebelum ini melaporkan Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah menzahirkan harapan agar bangunan istana itu dikekalkan dan tidak dijual kepada pihak lain dan perlu dibaik pulih.

Raja Nazhatul Shima bertitah baginda sayangkan istana itu kerana pernah tinggal di sana semasa kecil yang menjadi kenangan indah baginda, tambahan pula yang mendiami istana itu kesemuanya Raja Muda Perak.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1154
Kongsi :
Previous post Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) diperluas ke kawasan DUN
Next post Lapan premis diserbu tawar khidmat kecantikan tidak bertauliah
Ubah saiz-+=