Perahu nelayan wajib warna ungu
TANJUNG BIDARA 29 Nov. – Jabatan Perikanan mewajibkan perahu nelayan di negeri ini diwarnakan ungu mulai 2022 bagi memudahkan langkah penguatkuasaan undang-undang berkaitan operasi nelayan dan sumber perikanan.
Ia dipilih bagi membezakan perahu nelayan di negeri ini dengan negeri lain, selain memudahkan penguatkuasaan undang-undang oleh jabatan itu.
Pengarahnya, Mohd Fauzi Solehon berkata, nelayan diwajibkan mewarnakan perahu masing-masing dengan warna itu mulai sekarang bagi memastikan warna perahu di seluruh negeri ini mampu diseragamkan menjelang 2022.
“Warna perahu untuk Melaka ditetapkan ungu kerana setiap negeri mempunyai satu warna yang ditetapkan untuk memudahkan perahu dikenal pasti berasal dari negeri mana.
“Ia juga memudahkan pihak berkuasa membuat penguatkuasaan dan pemantauan di laut dan dalam usaha memelihara sumber perikanan,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, ungu juga dipilih kerana ia kurang menampakkan kekotoran pada badan perahu berbanding warna cerah seperti putih dan kuning, katanya.
Asyraf Ibrahim, 26, berkata dia membantu mengecat perahu gentian kaca bapanya, Ibrahim Md Isa, 66, di pangkalan nelayan Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, dekat sini sebagai langkah mematuhi peraturan itu.
Katanya, walaupun terpaksa mengeluarkan kos membeli cat, bapanya akur pada peraturan berkenaan bagi memastikan tidak dikenakan tindakan undang-undang jika gagal berbuat demikian.
“Sebelum mengecat, saya menggosok badan perahu dengan kertas pasir bagi memastikan cat melekat berbanding jika tidak menggosoknya,” katanya.
Fazli Baba, 34, berkata ketika menempah perahu gentian kaca baharu dua bulan lalu, beliau sudah meminta syarikat pembuat perahu mewarnakan perahu itu dengan
warna berkenaan.
“Alhamdulillah, perahu baharu berwarna ungu berharga RM11,000 itu sudah saya gunakan sejak sebulan lalu dan kebanyakan nelayan lain juga ada yang sudah mengecat warna itu.
“Sebelum ini tiada penetapan warna yang khusus untuk perahu di negeri ini tetapi notis untuk memperbaharui lesen perahu yang dikeluarkan Jabatan Perikanan sebelum ini menyatakan nelayan dikehendaki mewarnakan perahu dengan warna ungu,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara.
Katanya, badan perahu berwarna ungu lebih mudah dikesan nelayan di tengah laut, termasuk ketika hujan.