Perah sisa usia bina benteng pasir
KUALA LINGGI 26 Sept. – Pilus Saban, 80, terpaksa melupakan usia lanjutnya yang seharusnya dihabiskan dengan berehat akibat terpaksa berusaha membina benteng pasir bagi menghalang hakisan pantai memusnahkan warung kopinya.
Pada usia lanjut itu, Pilus seharusnya menghabiskan sisa umur tanpa perlu melakukan kerja berat tetapi angin kencang dari selatan dan fenomena air pasang penuh menyebabkan dia terpaksa melupakannya.
Sejak angin berkenaan muncul hujung Jun lalu dan fenomena itu hadir pada Selasa lalu, warga emas terbabit terpaksa mengisi guni dengan pasir sebelum menyusunnya menjadi benteng penahan ombak bagi menghalang hakisan memusnahkan warung kopinya.
Tiada pilihan untuk lelaki terbabit dan anak saudaranya, Kamariah Karim, 49, yang berniaga di warung berkenaan, selain terpaksa membina struktur itu bagi membantu mengekalkan bangunan yang dibina dua tahun lalu.
Pilus berkata, jika dibandingkan dengan faktor usianya, beliau seharusnya hanya berehat dan berulang alik ke masjid tanpa perlu memerah keringat mengisi pasir dalam guni dan menyusunnya bertingkat di tebing pantai berhampiran lantai warungnya.
“Sejak hujung Jun lalu ombak besar dari selatan mengorek pasir pantai dan mengakibatkan hakisan bertambah meluas hingga sudah terlalu hampir dengan lantai warung.
“Saya dan anak saudara terpaksa mengerah tenaga untuk membina benteng pasir tetapi ia tidak mampu bertahan untuk jangka panjang kerana sedikit demi sedikit ia sudah mula roboh semula,” katanya ketika ditemui di warung berkenaan di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru,hari ini.
Kamariah berkata, setiap kali ribut melanda, beliau amat bimbang warung berkenaan roboh akibat lantainya sudah terlalu hampir dengan tebing pantai yang semakin hilang dibawa arus dan ombak besar.
“Saya amat berharap pihak berkuasa mampu mengambil tindakan segera bagi menjalankan kerja pembaikan pantai kerana lagi lama dibiarkan, lagi luas kesan hakisan hingga mengancam warung kami,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tengah Mazlan Malek berkata, jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah meninjau hakisan itu dan sedang menyediakan pelan tindakan pembaikan pantai.
“Jurutera terbabit menyatakan bukan kampung ini sahaja yang menghadapi masalah hakisan pantai, sebaliknya ada banyak kampung lain yang turut terbabit seperti Pantai Puteri di Tanjung Kling, Pengkalan Balak, Telok Gong dan Tanjung Dahan,”
katanya.
Sementara itu, Pengarah JPS negeri Abdul Hakim Hamzah berkata, hakisan pantai di Kampung Tengah sudah dimasukkan ke dalam pelan tindakan pembaikan pantai bersama-sama kampung lain.
Sehubungan itu, jabatan berkenaan sedang berusaha mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan kerja perlindungan pantai melalui pembinaan benteng pemecah ombak atau tembok penahan ombak.
Beliau meminta penduduk tepi pantai yang menghadapi masalah hakisan supaya sentiasa peka dengan keadaan semasa dan segera meninggalkan premis jika hakisan semakin serius dan mengancam keselamatan nyawa dan aset mereka.