Peperiksaan SPM percuma pelajar tahfiz di Pulau Besar

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

SERI NEGERI 28 November – Kerajaan Negeri mengalu-alukan kemasukan pelajar baharu tahfiz yang ingin menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara percuma di Maahad Tahfiz Bistari (MTB) Pulau Besar.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, permohonan bagi kemasukan pelajar baharu itu masih dibuka sejak 3 Oktober 2023 sehingga 1 Mac 2024.

“Sehingga sekarang kami masih membuka permohonan pelajar-pelajar tahfiz untuk megambil peperiksaan SPM dan kita berikan secara percuma, cumanya buat masa ini sambutan kurang kerana hanya enam orang yang memohon.

“Kita memberi komitmen dengan menyediakan pendaftaran SPM, guru pakar SPM, pengajian kelas percuma, modul SPM dan bahan SPM, buku aktiviti dan bahan bantuan pengajian, makan lima kali sehari, bayaran makan asrama RM1 sehari bagi B40, bayaran RM3 bagi ibu bapa pendapatan RM5,000 ke atas dan kemudahan dobi.

“Ini bermakna Kerajaan Negeri tidak pernah melepaskan tanggungjawab membantu pelajar-pelajar tahfiz untuk mengambil peperiksaan SPM kerana kita tahun selain menghafaz al-Quran akademik juga penting untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) mengenai peperiksaan SPM pelajar tahfiz pada hari kedua Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata mengikut rekod pendaftaran peperiksaan SPM tahun 2023, seramai 222 calon daripada lapan sekolah agama berdaftar peperiksaan SPM 2023 di Melaka.

“Calon SPM daripada sekolah-sekolah ini dikehendaki membayar yuran pedaftaran peperiksaan yang ditetapkan lembaga peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia mengikut status sekolah mereka.

“Antara kategori sekolah ini adalah adalah sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) adalah percuma.

“Selain, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Henry Gurney, Sekolah Tunas Bakti dan sekolah menengah agama negeri diuruskan sepenuhnya oleh jabatan agama negeri.

“Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) telah menyediakan derma siswa kepada 45 pelajar tahfiz anak Melaka yang menjadi calon SPM di bawah Program Tahfiz Bistari Unimel mengikut kadar pendapatan penjaga yang menepati syarat dengan peruntukan RM173,700,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

696
Kongsi :
Previous post JKM Melaka sudah bersedia hadapi Monsun Timur Laut
Next post Melaka mohon bina hospital baharu di Ayer Keroh
Ubah saiz-+=