Penyokong boleh ‘gegau Jebat’ 6 April ini
MELAKA 3 Apr. – Penyokong Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) disahkan boleh ke Stadium Hang Jebat menyaksikan perlawanan menentang Kelab Bolasepak Pulau Pinang (Penang FC) pada Selasa ini.
Khabar gembira itu disampaikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika perlawanan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan MUFC di Stadium Sultan Ibrahim malam semalam dengan kehadiran penonton buat pertama kali dalam liga musim ini.
Katanya, pihaknya tidak mempunyai masalah membenarkan semua peminat bola sepak tempatan hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Super dan Liga Premier bermula 6 dan 7 April ini.
“Apa yang berlaku malam semalam cukup penting kepada penganjuran liga di bawah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) setelah sekian lama menanti kerana akhirnya peminat kembali ke stadium dengan protokol pengurusan yang terperinci dan diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Perlawanan malam semalam adalah untuk penonton dan bakal menjadi pembuka laluan kepada aksi-aksi perlawanan bagi kita saksikan kehadiran penonton.
“Saya memuji pengurusan JDT selaku tuan rumah yang banyak membantu terhadap pematuhan SOP dengan penglibatan 260 petugas yang merangkumi 30 pegawai sports bubble, 60 marshal, 40 askar Timbalan Setia Negeri dan 130 anggota polis.
“Setakat ini apa yang saya boleh katakan tiada halangan bagi kemasukan penonton untuk perlawanan lain kerana berdasarkan pemerhatian daripada MKN, mereka berpuas hati secara keseluruhan.
“Kelulusan saya sebenarnya sudah dapat tapi sekiranya ada pemerhatian lain oleh pihak MKN, mungkin keputusan lain akan dibuat tetapi buat masa ini,saya boleh katakan tiada masalah, ” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook MFL sebentar tadi.
Aksi JDT dan MUFC malam semalam adalah projek perintis bagi meneliti SOP kemasukan penyokong terutama membabitkan aspek keselamatan di dalam stadium pasca pandemik COVID-19.
Mengikut syarat yang ditetapkan, penonton dibenarkan masuk ke dalam stadium bermula jam 6 petang sebelum pintu ditutup pada jam 8.30 malam, yang mana ia tertakluk kepada 10 peratus had kapasiti stadium atau 2,000 orang di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan untuk kawasan PKP Pemulihan (PKPP), 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 orang.
Sebanyak dua zon tempat duduk sahaja dibuka melibatkan B dan C dengan setiap penonton wajib menjaga penjarakan sosial dengan jarak dua kerusi sesama mereka sepanjang perlawanan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menyambut baik kenyataan Reezal dan berharap semua pengurusan pasukan sudah bersedia bagi menerima kemasukan penonton.
“Perkembangan positif yang ditunjukkan di sini harap menjadi permulaan untuk diikuti di venue-venue lain pada perlawanan ketujuh Liga Super.
“Melalui pewartaan yang membenarkan penyokong boleh masuk ke stadium mulai 1 April, MFL telah bersedia sepenuhnya dan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bersama semua pasukan bagi membincangkan perkara ini,” katanya.
Difahamkan, kesemua perlawanan Liga Super dan Liga Premier selepas ini dibenarkan untuk kemasukan penonton (tuan rumah sahaja) bagaimanapun ia masih tertakluk kepada kelulusan MFL iaitu setiap pasukan perlu menghantar dokumen kebenaran kemasukan penonton terlebih dahulu.
Dalam pada itu, semakan di laman Facebook rasmi MUFC mendapati kerja-kerja menanda tempat duduk penonton sedang giat dijalankan sebagai persediaan menerima penyokong Skuad Hang Tuah di Stadium Hang Jebat.
Sebanyak 4,500 tempat duduk telah ditanda membabitkan kerjasama bersama Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.