Penyelidik UTeM menang geran penyelidikan Eco Champion Awards 2021
DURIAN TUNGGAL 24 Mac – Sistem pemantauan kualiti air tawar berasaskan Internet Kebendaan (IoT) rekaan kumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), berjaya memenangi geran penyelidikan Eco Champion Awards 2021, baru-baru ini.
Geran itu diberikan Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia sebagai pengiktirafan kepada kumpulan penyelidik terbabit yang menjalankan akitiviti inisiatif hijau dan alam sekitar untuk komuniti setempat.
Naib Canselor UTeM Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, usaha itu membantu pihak berkuasa memantau dan mengawasi kualiti air tawar secara jauh serta mengesan sebarang pencemaran air tawar yang berlaku dengan lebih awal.
“Fasa awal pertandingan mereka telah siapkan kertas cadangan projek pada 15 Disember 2020, manakala penghasilan video pendek dilengkapkan sebelumnya bagi menerangkan tentang cadangan projek pada 27 Januari 2021.
“Hasil keputusan penilaian mengumumkan projek cadangan mereka berjaya terpilih dan memenangi geran khas bernilai RM3,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) UTeM diketuai Ir Ts. Dr S. Ranjit Singh bersama ahlinya Ir Siti Aisyah Anas dan Muhammad Faiz Mohd Kamal yang merupakan pelajar pasca siswazah.
Sementara itu, Ranjit berkata, program yang akan dijayakan selepas menerima geran itu meliputi pembangunan sistem, pengujian sistem dan penyediaan laporan dalam tempoh projek sebenar bermula 31 Mac hingga 10 Jun 2021.
“Ekoran larangan pergerakkan rentas negeri disebabkan pandemik Covid-19 yang sepatutnya melaksanakan pengujian sistem di kawasan air tawar sekitar Lembah Klang, sistem ini akan diuji di Sungai Melaka terlebih dahulu.
“Ia bagi tujuan verifikasi awal terhadap kebolehfungsian sistem dalam memantau kualiti air tawar,” katanya.
Ranjit berharap usaha itu berjaya menghasilkan sistem untuk mengesan parameter air fizikokimia menggunakan sensor berkos rendah serta menguji tahap keberkesanan sistem dalam mengesan pencemaran air tawar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.