Sorting by

×

Penyelidik jangka temui lebih banyak artifak di Pulau Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDA HILIR 17 Sept – Lebih banyak artifak seperti seramik dan mata wang serta rangka kapal perdagangan hasil peninggalan zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1488 hingga 1511 dijangka akan ditemui sebaik sahaja kerja penyelamatan artifak dijalankan di kawasan itu.

Ketua Penyelidik Datuk Dr. Dionysius Sharma berkata, ketika zaman pemerintahan Sultan Mahmud dalam tempoh itu, kawasan penemuan artifak terbabit merupakan perairan yang menjadi persinggahan kapal perdagangan untuk berlabuh di pelabuhan Melaka.

Katanya, rangka kapal yang bakal ditemui itu kemungkinan bukti bahawa terdapat pedagang dari serata dunia termasuk India, China dan Arab menjadikan lokasi berkenaan sebagai tempat persinggahan sebelum melakukan pendaratan.

Dionysius (tengah) memberi penerangan mengenai serpihan artifak yang ditemui di kawasan paya bakau di Pulau Melaka.

“Di antara gigi air hingga Pulau Jawa, banyak kapal di sini kerana ia adalah tapak perdagangan, jadi kapal-kapal yang hendak singgah ke pelabuhan Melaka mungkin berada di sekitar kawasan ini.

“Tapak ini dahulunya adalah laut, kemungkinan kapal-kapal berkenaan karam akibat dilanda ribut atau tenggelam disebabkan perang.

“Jadi, apa yang ditemui setakat ini ditemui atas tanah hasil penambakan laut tetapi di bawah ini kita tidak pasti berapa banyak kapal dan mungkin ada serpihan seramik yang masih cantik ditemui sekiranya kawasan ini digali semula,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada penemuan artifak itu di Pulau Melaka, hari ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya Warisan Mesran Mohd Yusop; Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz dan Pengurus Besar PERZIM Mohd Nasruddin Rahman.

Mengulas lanjut, beliau menyokong tindakan Jabatan Warisan Negara (JWN) yang mencadangkan kepada kerajaan negeri menerusi PERZIM supaya kawasan itu ditutup untuk kerja penyelematan artifak.

“Kita masih belum tahu kedalaman rangka kapal yang berada di bawah permukaan laut kerana kita perlu menggunakan alat tertentu seperti ‘ground penetrating radar’ untuk mengetahui bentuk rangka kapal.

“Kerjasama dengan PERZIM akan dilakukan untuk melakukan kerja penyelamatan di tapak yang kita jumpa dahulu sebelum beralih ke tapak lain,” katanya.

Views:

842
Kongsi :
Previous post Misteri beg hitam dalam kereta
Next post Piala Tun Abdul Razak: Hoki wanita Melaka mula langkah kanan
Ubah saiz-+=