Penyanyi sambilan maut dirempuh kereta

Masa Membaca:57 Saat

KLEBANG 15 April – Seorang penyanyi sambilan maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Jalan Pulau Gadong, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi, Sheik Ali Sheik Abdullah, 66, yang beralamat di Kampung Morten meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Pulau Gadong menghala ke Kampung Morten.

Katanya, ketika melalui jalan berhampiran Jambatan Pulau Gadong datang sebuah kereta jenis Proton Persona yang hilang kawalan lalu masuk ke arah bertentangan dan merempuh mangsa.

“Akibat pelanggaran, mangsa telah terseret dan tercampak ke bahu jalan serta disahkan meninggal dunia.

“Manakala kereta terbabit telah terbabas masuk ke dalam semak di bahu kanan jalan yang mana pemandunya tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Christopher berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.

Tambahnya, pemandu kereta berusia 26 tahun juga telah diambil sampel darah bagi menjalankan ujian alkohol dan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

37573
Kongsi :
Previous post 530 wanita khatam al-Quran di Masjid Selat
Next post ‘Saya tak ada baju raya pun tak apa’
Ubah saiz-+=