Penutupan jalan bakal beri pulangan baik kepada semua
PANTAI KUNDOR 25 Disember – Penutupan laluan di Banda Hilir masih lagi dalam kajian percubaan dan sedang menunggu maklum balas daripada semua pihak yang terbabit.
Perkara itu merujuk kepada pemakluman Kerajaan Negeri yang melaksanakan penutupan jalan selama 54 jam bermula 6 petang setiap Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad sepanjang tempoh pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri sedang mencari penyelesaian terbaik agar pelaksanaan itu dapat memberi kebaikan kepada ekosistem pelancongan Melaka.
Tegas Ketua Menteri, semua pihak diminta supaya bersabar dan tidak terburu-buru dalam membuat kesimpulan berhubung perkara itu.
“Pastinya Kerajaan Negeri tidak akan menjadi sebuah kerajaan zalim yang mana tutup jalan dan orang tidak boleh berniaga. Sudah pastinya kita perlukan ramai pelancong yang datang dan keselesaan mereka yang datang ini adalah dalam pelbagai kaedah yang sedang kita kaji dan akan beri pulangan balik kepada rakyat.
“Kerajaan Negeri masih lagi mengkaji kaedah terbaik untuk memberi dan meraikan bukan sahaja pelancong tetapi peniaga yang ada di sepanjang kawasan pelancongan ini ,” katanya Ketua Menteri pada sidang media selepas merasmikan Megasurf Pantai Puteri 2023 di Pentas Budaya, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta timbalannya, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Datuk Kalsom Noordin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor merangkap Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Penguna negeri Tuminah Kadi @Mohd Hashim.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri tidak akan menganiaya mana-mana peniaga kerana mereka dianggap sebagai rakan kongsi kepada sektor pelancongan Melaka.
“Selain itu Kerajaan Negeri juga memberi jaminan peniaga sekitar Banda Hilir dan sekitarnya tidak akan terjejas apabila penutupan jalan atau laluan kontra dilaksanakan.
“Kerajaan Negeri merancang lakukan penutupan jalan bagi kenguraikan trafik di titik titik hitam kawasan di negeri ini dengan melaksanakan beberapa kaedah.
“Pastinya, apa yang dibuat adalah tindakan untuk memastikan kelancaran kehadiran pelancong pada tahun hadapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.