Penuntut universiti didenda RM4,000 buat hantaran jelik hina Agong, PDRM

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Seorang penuntut jurusan sains komputer di sebuah universiti didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membuat dan menghantar komunikasi jelik berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Twitter, tahun lepas.

Hakim M. M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Nur Azira Azman, 22, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara enam bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu. Dia membayar denda itu.

Nur Azira didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi itu menggunakan aplikasi Twitter @nuraziraazmann dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 2.59 pagi, 20 April 2021.

Hantaran itu kemudian telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada 1.30 petang, pada hari yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada OKS.

Bagaimanapun, peguam Mahajoth Singh yang mewakili Nur Azira memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan selain menyesal atas perbuatannya itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

970
Kongsi :
Previous post Anwar kemuka usul bincang pembongkaran skandal 1MDB
Next post Konflik Ukraine-Russia boleh jejas usaha cerdaskan pemulihan ekonomi global, termasuk Malaysia
Ubah saiz-+=