Sorting by

×

Penuntut Nigeria didakwa tipu guru besar RM141,262 berhubung harta pusaka

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KUALA KUBU BHARU 16 April. – Seorang penuntut warga Nigeria didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas 24 pertuduhan menipu seorang guru besar wanita membabitkan kerugian berjumlah RM141,262 berhubung tuntutan harta pusaka bapanya (tertuduh) bernilai RM2.4 juta yang tidak wujud.

Bagaimanapun, Nwaokorie Chikezi Patric, 41, yang merupakan penuntut diploma pelancongan di sebuah kolej swasta, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Reza yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut 24 pertuduhan itu, tertuduh didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas telah menipu seorang guru besar berusia 59 tahun dengan memperdaya wanita itu untuk memasukkan wang berjumlah RM141,262 ke dalam sebuah akaun bank atas nama Adzatul Natasyah Adnan, 27, melalui pindahan dalam talian bagi menuntut harta pusaka bapa tertuduh bernilai RM2.4 juta yang tidak wujud.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah di sini antara 4 Februari 2021 dan 4 Mac 2021, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Yong Ching Hong memohon jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan atas alasan tertuduh adalah warga asing.

“Mohon syarat tambahan dikenakan kepada tertuduh iaitu pasportnya diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan,” katanya.

Peguam tertuduh, M. Tharuma Ratnam memohon jaminan rendah kerana kes ini melibatkan mangsa dan modus operandi yang sama.

“Selain itu, anak guam saya telah berkahwin dengan rakyat Malaysia dan mempunyai dua anak. Dia juga memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM72,000 dengan dua penjamin warga tempatan bagi kesemua pertuduhan dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai serta menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

704
Kongsi :
Previous post Mufti minta tingkat pematuhan SOP di Bazar Ramadan
Next post Air kosong RM1.50 segelas
Ubah saiz-+=