Sorting by

×

Penunggang motosikal maut rempuh kereta belok simpang

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

ALOR GAJAH 11 Ogos – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai merempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Kampung Felcra Bukit Apit, Masjid Tanah pagi tadi.

Mangsa, Mohamad Abdul Shah Rizal Tambi, 28 disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah manakala pemandu kereta berusia 32 tahun cedera pada bahagian kaki selepas terbabit dalam kemalangan pada jam 11.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori dalam perjalanan dari arah Bukit Apit menghala ke Masjid Tanah manakala pemandu kereta yang bekerja di sebuah pasar raya dalam perjalanan dari arah bertentangan iaitu dari Masjid Tanah menghala ke Bukit Apit.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, pemandu kereta berkenaan membelok ke kanan untuk memasuki simpang Felcra Kampung Bukit Apit.

“Mangsa yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan melanggar sisi pintu belakang pada sebelah kiri kereta terbabit.

“Susulan rempuhan itu, kereta berkenaan terbabas melanggar pokok,” katanya.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal yang bekerja sebagai pemandu lori cedera parah di kepala dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia di hospital terbabit.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kenderaan yang terbabit kemalangan itu ditahan untuk pemeriksaan Pusat Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9625
Kongsi :
Previous post ‘Cashless’ mudahkan urusan peniaga, pengguna
Next post KPWKM rancang kuat kuasa undang-undang pemasangan CCTV di taska
Ubah saiz-+=