Penunggang motosikal maut, kelindan dan pemandu lori cedera
ALOR GAJAH 23 Ogos – Seorang peniaga burger maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang terbabit kemalangan dengan tiga lori di Kilometer 206.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, jam 12.30 tengah malam tadi.
Akibat kejadian penunggang motosikal Rosli Yaakob, 39, disahkan maut dilokasi kejadian sementara itu seorang kelindan warga Bangladesh parah manakala seorang pemandu lori cedera.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian semua kenderaan membabitkan lori membawa muatan barangan kurier dan sangkar ayam serta motosikal berkuasa tinggi dalam perjalanan menghala dari arah utara ke selatan.
Beliau berkata, hasil siasatan dijalankan kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori membawa muatan barangan kurier berada di lorong kiri memperlahankan kenderaan dengan menyalakan lampu kecemasan.
Katanya, pemandu terbabit berbuat demikian berikutan terdapat pembinaan di lorong paling kanan dan lori sangkar ayam yang berada dibelakang turut melakukan tindakan sama.
“Namun lori ketiga dipandu lelaki berusia 29 tahun tiba-tiba melanggar belakang lori membawa muatan sangkar ayam menyebabkan kenderaan berat itu menggelongsor ke depan lalu melanggar belakang lori dihadapannya.
“Pemandu berusia 29 tahun itu tersepit di tempat duduk dan ketika itu juga lampu isyarat kecemasan kenderaan terbabit tidak menyala.
“Kelindan lori membawa muatan sangkar ayam kemudian membantu memberi amaran kepada pengguna lain menggunakan lampu telefon bimbit. Mangsa yang melalui lokasi kejadian dipercayai terlanggar lelaki Bangladesh berkenaan sebelum merempuh belakang lori ketiga,” katanya.
Arshad berkata, mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka (HM) bagi rawatan lanjut manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah, bagi proses bedah siasat.
“Pemandu lori yang tersepit dirawat di Zon Hijau Unit Kecemasan HM disebabkan kecederaan di kepala manakala kelindan lori pula di Zon Merah kerana kecederaan di kepala dan beberapa bahagian badan yang lain.
“Kenderaan yang terlibat kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi tindakan lanjut selain kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.