PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT DIHEMPAP POKOK TUMBANG

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

REMBIA 12 September – Seorang pekerja sebuah kilang kereta di Alor Gajah maut selepas dihempap pokok tumbang ketika melalui Jalan Industri Kelemak Alor Gajah, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi tadi, mangsa, Ikhmal Hakimi Hasrul Rizuan, 18 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Benelli sedang dalam perjalanan dari Alor Gajah ke Taman Lendu Bakti, dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Menurutnya, ketika melalui lokasi kejadian, sebatang pokok telah tumbang lalu menghempap atas tangki motosikal ditunggang mangsa, menyebabkannya terjatuh di atas permukaan jalan.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah.

“Pol 61 telah dikeluarkan untuk menjalankan bedah siasat dan motosikal mangsa telah dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (Puspakom) untuk pemeriksaan,” katanya.

Menurut Ashari, pihaknya masih mengesan saksi yang melihat kejadian, selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 6.37 pagi dan menggerakkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah ke lokasi.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fadil Saidin memaklumkan, pihaknya telah melakukan kerja-kerja memotong pokok tumbang tersebut dengan menggunakan ‘chainsaw’ dan operasi tamat pada jam 7.50 pagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1274
Kongsi :
Previous post PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA: PENYERTAAN LEBIH 20 ACARA MASIH DIBUKA
Next post EKSPEDISI TEROKA PRODUK PELANCONGAN ALOR GAJAH
Ubah saiz-+=