
Penunggang maut, motosikal bertembung
MELAKA 13 April. – Pekerja pencuci kereta maut selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Tanjung Minyak, di sini, malam semalam.
Kejadian kira- kira jam 7.30 malam itu mengakibatkan mangsa Muhammad Syahmi Rosdi, 24, yang menunggang motosikal SYM meninggal di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang seorang diri dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Tanjung Minyak/Bukit Rambai.

“Manakala Perodua Viva dipandu wanita berusia 27 tahun ketika itu keluar dari simpang Taman Cheng Indah menghala ke Taman Bertam Jaya.
“Siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua kenderaan ini bertembung sebaik tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.
“Siasatan lanjut kejadian masih diteruskan dan kedua-dua kenderaan kini ditahan sebelum dihantar ke PUSPAKOM bagi pemeriksaan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.