Penunggang maut dalam nahas 4 kenderaan di Jalan Hutan Simpan
LENDU 16 Jun – Penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam nahas empat kenderaan di Jalan Hutan Simpan Masjid Tanah, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa Muhammad Syazwan Chairuddin, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai operator di Petronas Tangga Batu sedang dalam perjalanan menghala ke arah Sungai Udang dari arah Masjid Tanah.
Ketika melalui lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Toyota Yaris dari arah Sungai Udang yang dipandu lelaki berusia 20 tahun menghala ke Masjid Tanah dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan, lalu merempuh mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC.
Katanya, rempuhan itu turut membabitkan sebuah lagi motosikal jenis Suzuki dan sebuah kereta Perodua Myvi.
“Akibat rempuhan itu, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, tangan dan kaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu kereta Toyota Yaris, Perodua Myvi dan satu lagi penunggang motosikal tidak mengalami kecederaan.
“Mayat mangsa yang maut telah dibawa ke Hopsital Alor Gajah dan Pol 61 dikeluarkan untuk menjalankan bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata, semua kenderaan terlibat remuk di pelbagai bahagian dan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan.
Beliau berkata, terdapat rakaman kamera papan pemuka (dashcam) dan saksi yang melihat kemalangan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.