Sorting by

×

Penunggang Grabfood ‘hanyut’ satu kilometer

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

DURIAN TUNGGAL, 23 Nov.- Seorang penghantar makanan berdepan detik mencemaskan apabila hanyut kira-kira satu kilometer selepas terjatuh ke dalam tali air di Kampung Gangsa, di sini, malam tadi.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 9.55 malam ketika pemuda berkenaan dalam perjalanan membuat penghantaran makanan yang ditempah menggunakan aplikasi dalam talian.

Menurut pemuda terbabit, Muaz Razali, 25, berkata, ketika membuat penghantaran makanan dia menggunakan sistem pengesanan lokasi (GPS) sebagai penunjuk arah sebelum tiba-tiba terbabas.

Katanya, keadaan cuaca ketika itu amat gelap selain terdapat limpahan air di atas jalan.

“Awalnya saya ingatkan kawasan itu hanya dilanda banjir yang cetek namun tiba-tiba air semakin dalam sebelum terbabas lalu dibawa arus ke tali air.

“Sebaik terjatuh saya cuba untuk bangun namun tidak boleh berbuat demikian kerana arus deras. Mujurlah ketika itu saya tidak panik lalu menghubungi talian kecemasan,” katanya.

Menurutnya yang mula bekerja sebagai penghantar makanan sejak awal tahun ini berkata, kira-kira 30 minit dia berendam di dalam tali air bersama puluhan ekor lintah sebelum pasukan bomba tiba.

“Situasi ketika itu amat mencemaskan selain saya turut terfikir sekiranya ada haiwan berbisa lain seperti luar.

“Selepas diselamatkan saya naik ke darat dan mendapati badan dipenuhi lintah sehingga bomba turut tolong membuangnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh Penolong Penguasa Bomba Mohd Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.58 malam sebelum sepasukan anggota termasuk Komander Operasi Penguasa Bomba Kanan II, Muhd Asraf Abdullah bergegas ke lokasi kejadian.

“Lokasi kejadian dipenuhi air hingga ke jalan utama dan anggota bomba terpaksa meranduk ke kawasan itu untuk pergi mendapatkan mangsa sejauh kira-kira satu kilometer.

“Mangsa bersama motosikalnya berjaya diselamatkan selain dia tidak mengalami kecederaan serius dan operasi tamat pada jam 10.28 malam,” katanya.

Views:

623
Kongsi :
Previous post Melaka tambah produk pelancongan baharu tahun depan
Next post Penjawat awam antara empat lelaki ditahan miliki air ketum
Ubah saiz-+=