Penugasan zaman komunis pengalaman berharga

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 28 September – Pengalaman bertugas ketika komunis masih berleluasa pada penghujung tahun 80-an selepas tamat latihan antara pengalaman paling tidak dapat dilupakan bagi Sarjan Sazali Shaari sepanjang perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sazali, 60 yang kini bertugas di Unit Pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah berkata, selepas tamat latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Gurney, Kuala Lumpur 35 tahun lalu, beliau ditugaskan di kawasan perintah berkurung di Unit Kawalan Keselamatan (UKK) di Benta, Lipis, Pahang.

Katanya, sepanjang perkhidmatan selama dua tahun di kawasan itu, kem berkenaan diserang kumpulan komunis dan beliau antara anggota yang dikerahkan untuk menjejaki kumpulan itu di Ulu Cheka namun tidak berjaya.

“Kemudian, saya dipindahkan ke Ulu Tembeling, Jerantut yang mana ditugaskan untuk menghatar bekalan makanan kepada anggota tentera dan Pasukan Polis Hutan (kini dikenali Pasukan Gerakan Am) di kawasan Kampung Bantal dan Kampung Gusai menggunakan bot.

“Pada masa sama, pasukan sama seperti saya (menghantar bekalan makanan) diserang komunis dalam kejadian di Kelantan sehingga ada yang terbunuh, jadi kejadian itu sedikit sebanyak membuatkan saya sedih.

“Kejadian itu bagaimanapun tidak sedikit pun memberi rasa gentar atau bimbang kerana demi memikirkan keselamatan anak bangsa serta generasi akan datang, semangat saya untuk berbakti kepada negara semakin menebal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di Balai Istiadat, Seri Negeri di sini hari ini.

Istiadat penganugerahan itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Bapa kepada lima cahaya mata itu antara 184 penerima PJPN membabitkan 19 pegawai dan anggota yang masih berkhidmat dan 165 pesara polis yang menetap di Melaka.

Sazali menzahirkan rasa terharu kerana jasa dan pengorbanannya dihargai ketika menerima penganugerahan berkenaan.

“Sebelum ini, saya pernah dapat berbagai pingat termasuk Pingat Panji, Pingat Tatu PDRM dan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) namun PJPN adalah pingat tertinggi yang diterima, Alhamdulillah,” katanya.

photo_2023-09-26_14-21-26 (2)
Sarjan Mejar Nadzri Md Noor menunjukkan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) diterimanya.

Seorang lagi penerima PJPN, Sarjan Mejar Nadzri Md Noor, 55 yang juga Ketua Balai Polis Bemban, Jasin berkata, kejadian dikejar seorang lelaki besenjatakan parang ketika bertugas di Cawangan Pencegahan Jenayah IPD Segamat, Johor antara detik yang tidak dilupakan sepanjang berkhidmat.

“Ketika kejadian itu, kita sebagai anggota polis perlu menggunakan kebijaksaan untuk meleraikan sebarang masalah terutama di kawasan pedalaman.

“Berbanding ketika saya bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, pada tahun 2000 hingga 2012 tenaga muda dari segi ketahanan mental dan fizikal lebih diperlukan kerana kebanyakan operasi melibatkan tangkapan dadah tempatan serta antarabangsa,” katanya yang sudah berkhidmat 35 tahun dalam PDRM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

979
Kongsi :
Previous post Anak muda Melaka ‘takluk’ gelanggang angkat berat
Next post Ingat talian hotline 997 elak kena ‘scam’
Ubah saiz-+=