PENUBUHAN IADA SELATAN BAKAL BERI MANFAAT KEPADA PESAWAH NEGERI SEMBILAN, MELAKA DAN JOHOR

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

MERLIMAU 4 November – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mempertimbangkan cadangan bagi mewujudkan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Selatan untuk membantu pesawah di Negeri Sembilan, Melaka serta Johor meningkatkan hasil tuaian padi.

Mengulas mengenai cadangan itu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jika penubuhan IADA terlaksana, pesawah di ketiga-tiga negeri terbabit akan menikmati sistem pengurusan air dan penanaman padi yang lebih tersusun.

Mohamad berkata, pada ketika ini pesawah di ketiga-tiga negeri terbabit dibelenggu isu pengairan dan pertukaran status tanah kepada jenis tanaman lain atau dimajukan sebagai taman perumahan.

“Pesawah di ketiga-tiga negeri ini masih bergantung kepada sumber hujan untuk melaksanakan penanaman padi kerana infrastruktur pengairan belum sempurna. Malah kawasan ini juga tidak ada IADA khusus untuk membantu pesawah tempatan kerana berada di luar jelapang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu Mardi MR326 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kampung Sempang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata KPKM juga sedang berusaha untuk mendapatkan dana tambahan daripada kerajaan bagi memperbaiki sistem pengairan bagi kawasan sawah luar jelapang.

Selain itu pihaknya juga telah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan kerajaan Sabah dan Sarawak untuk membuka jelapang padi baharu di dua negeri berkenaan.

“Alhamdulillah, kerajaan Sarawak menerusi Belanjawan Sarawak 2025 akan memperuntukkan RM500 juta bagi memperbaiki infrastruktur sawah di negeri itu. Semua usaha ini dilakukan adalah untuk satu tujuan iaitu mencukupkan keperluan beras negara pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post MENARA TAMING SARI GAMIT 9 JUTA PENGUNJUNG
Next post MELAKA BAKAL TUBUH KONSORTIUM, USAHAKAN TANAH SAWAH TERBIAR
Ubah saiz-+=