Penternak tilapia berjiwa kental
ASAHAN 17 Januari – “Jangan pernah mengalah atau putus asa. Kedua-duanya jangan pernah wujud dalam diri, jika mahu menjadi usahawan,” kata penternak ikan tilapia Muhammad Hafiz Abdullah.
Muhammad Hafiz, 49, berkata, sudah menjadi lumrah setiap usahawan akan ada jatuh bangun dan diuji sepanjang mengusahakan ternakan mahupun pertanian sebelum ianya membawa hasil lumayan, sekali gus memberi kepuasan atas apa yang diusahakan.
Menurut penternak ikan tilapia merah baka hibrid F1 itu, sepanjang tujuh tahun dia pernah beberapa kali diuji dengan situasi getir termasuklah apabila lebih 70 peratus daripada 250,000 ikan peliharaannya itu mati secara mengejut.
“Untuk menjadi usahawan ternak ini kita sentiasa akan berhadapan dengan cabaran kerana bermain dengan kehidupan jadi ia berisiko. Jadi kita perlu terus bergerak ke depan, seperti saya sudah banyak kali berdepan dengan kejadian ikan tiba-tiba sahaja mati.
“Ada satu hari ikan yang sudah siap dipilih dan digred serta diletakkan dalam lima sangkar berasingan mati secara tiba-tiba, anggaran jumlah mencecah 3,000 ekor tetapi saya tidak boleh kecewa atau putus asa kerana keesokkannya pelanggan akan datang ambil.
“Jadi sebelum pelanggan sampai, saya gali lubang untuk tanam ikan yang sudah dikutip dan kemudiannya ‘harvest’ kembali ikan dari kolam dan gredkan seperti diminta. Sebelum pelanggan tiba saya pastikan semuanya sudah tersedia,” katanya ketika ditemui di kolam ternakan ikan tilapia diusahakan di Felda Bukit Senggeh.
Menceritakan pembabitannya dalam bidang ternakan ikan air tawar itu, Muhammad Hafiz berkata, ia bermula secara suka-suka selepas dia yang sebelum itu berkhidmat sebagai kontraktor ingin bersara dan mencari aktiviti yang boleh dilakukan selepas tidak lagi bekerja.
“Dulunya asal kontraktor, bila rasanya sudah puas bekerja dan tiba masa untuk berehat jadi saya terfikir untuk bela ikan bagi mengisi masa terluang, niatnya memang untuk suka-suka sahaja kerana kolam milik bapa mentua sudah ada selain tiada siapa yang mengusahakannya.
“Selepas membuat sedikit kajian saya pilih untuk ternak ikan tilapia merah hibrid F1 ini dan ketika awal percubaan hanya membawa masuk 6,000 ekor benih tetapi nasib tidak menyebelahi apabila lebih daripada separuh mati. Namun saya tidak berputus asa kerana ‘asam garam’ usahawan itu sudah ada jadi hanya perlu kental sahaja sebelum mencari sedikit lagi modal untuk masukkan lagi 5,000 ekor benih.
“Alhamdulillah ianya berjaya, secara tidak langsung membuatkan saya ‘jatuh hati’ sebelum cuba menambah lagi bilangan benih kepada 10,000 ekor sehinggalah mencecah 250,000 ekor ikan pada awal tahun ini. Itupun sudah mencapai jumlah maksima bagi keluasan kolam kerana ternakan saya ini dijalankan secara manual tanpa bantuan peralatan oksigen,” katanya.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, spesis ikan air tawar itu menjadi pilihan ramai sehinggakan dia tidak mampu memenuhi permintaan dan kini fokusnya hanya tertumpu untuk pasaran sekitar daerah Jasin dengan pengeluaran kira-kira 300 kilogram ikan sehari.
“Pasaran sekarang hanya untuk komuniti setempat dan sekitar Jasin sahaja walaupun ada pelanggan dari Muar, Johor berminat dengan produk saya. Sekarang ini saya hadkan hanya 300 kilogram sehari sahaja, kerana kita dalam proses penambahan semula benih.
“Jika tidak sebelum ini atau paling kemuncak sehari kita pernah tuai hasil mencecah satu tan sehari. Tilapia merah hibrid F1 ini dipilih kerana ia bukan sahaja cepat besar malah lasak berbanding baka lain selain pelanggan suka. Malah untuk menjamin kualitinya hanya palet premium sahaja yang digunakan meskipun kosnya agak mahal,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.