Pensyarah UTeM wakili Malaysia kongsi kepakaran telekomunikasi
DURIAN TUNGGAL 21 Februari – Pensyarah bidang telekomunikasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mewakili Malaysia berkongsi kepakaran dalam membangunkan telekomunikasi masa hadapan dunia.
Beliau adalah Prof Madya Dr Imran Mohd Ibrahim dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) UTeM yang mewakili Malaysia Technical Standard Forum Berhad (MTSFB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke mesyuarat ITU Working Party 5D (ITUR-WP5D) Geneva, baru-baru ini.
ITUR-WP5D merupakan forum di bawah International Telecommunication Union bagi berkongsi kepakaran dan merangka pembangunan spesifikasi teknologi telekomunikasi untuk masa hadapan peringkat global.
Perkongsian ini melibatkan lebih 100 tenaga pakar dari 100 negara, antaranya Amerika Syarikat, China, Great Britain, Jepun, Korea Selatan dan India.
Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan pengiktirafan bagi kepakaran dimiliki UTeM dalam mencorak dan membangunkan teknologi telekomunikasi.
Katanya, selaku universiti awam teknikal berprestij, UTeM sentiasa peka dan menerajui arus kemodenan telekomunikasi global termasuk pembangunan teknologi 6G dan penambahbaikan pelaksanaan teknologi 5G.
“Saya harap perkongsian Dr Imran dapat memantapkan lagi pembangunan telekomunikasi ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Sementara itu Imran berkata hasil perkongsian itu perkara utama yang disentuh adalah tentang perincian pembangunan spesifikasi teknologi 6G.
“Kita turut memperhalusi kemodenan komunikasi besar-besaran, antara peranti telekomunikasi dalam sektor kesihatan dan automotif dunia yang berfokuskan kepada kenderaan tanpa kendalian manusia.
“Selain itu pembangunan telekomunikasi dunia turut memperincikan pemerkasaan pengunaan teknologi realiti maya (tanpa wayar) secara meluas,” katanya.
Ujar Imran hasil perkongsian itu wakil dari setiap negara akan memberikan laporan terperinci kepada kementerian dan badan berkaitan di peringkat negara masing-masing.
“UTeM merakamkan setinggi penghargaan kepada SKMM, MTSFB dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOMM) atas kepercayaan yang diberikan kepada UTeM.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.