Sorting by

×

Pensyarah Politeknik Merlimau didenda RM36,000 buat tuntutan palsu

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 26 Feb. – Seorang pensyarah Politeknik Merlimau Melaka didenda RM36,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pilihan membuat tuntutan palsu berjumlah RM59,320.70 bagi pembelian keperluan pasukan ragbi pelajar di institusi itu sejak 2016.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shafie Osman, 40, yang menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes hari ini.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Mohd Shafie dengan curangnya telah menggunakan dokumen palsu sebagai sebut harga dari AK Maju Resources, masing-masing pada 19 Oktober 2016, 23 Januari 2017 dan 7 Ogos 2017 di Pejabat Pos Merlimau.

Mohd Shafie didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh dengan curangnya telah menggunakan dokumen palsu Syarikat Ak Maju Resources dengan mengemukakan sebut harga masing-masing berjumlah 19,750.72 pada 19 Oktober 2016, RM19,810.24 (23 Januari 2017) dan RM19,759.74 (7 Ogos 2017).

Pemilik syarikat Noor Azam Khalid menyatakan beliau diarahkan tertuduh untuk menunjukkan contoh format sebut harga syarikatnya, namun mengesahkan tidak pernah mengeluarkan sebarang sebut harga serta membekalkan item-item yang dinyatakan di dalam dokumen itu.

Noor Azam juga mengesahkan terdapat kemasukan transaksi pembayaran keseluruhan berjumlah RM59,320.70 dan telah mengeluarkan wang itu menggunakan cek sebelum diserah kepada tertuduh, seperti diarahkannya.

Peguam Rosli Kamaruddin merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya seorang pensyarah berdedikasi dan banyak membantu pasukan ragbi institusi pengajian itu hingga mampu bertanding ke peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) R. Francine Cherly, memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM12,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara enam bulan jika gagal bayar.

Mohd Shafie membayar denda berkenaan hari ini.

Pada 7 Julai tahun lalu , Mohd Shafie mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan memperdayakan majikannya dengan menggunakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berjumlah lebih RM175,000 berhubung kegiatan sukan ragbi dan program pusat pengajian tinggi itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2001
Kongsi :
Previous post Golongan B40 paling ramai terjebak dadah di Melaka
Next post Vaksin: Masyarakat berbilang kaum boleh jalani kehidupan normal
Ubah saiz-+=