PENSYARAH AGAMA BUKTI KEHEBATAN DI PENTAS PIDATO

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 19 September – “Saya memang tidak menjangkakan rezeki kali ini memihak kepada saya sebab sudah lama meninggalkan dunia pidato ini sejak 12 tahun lalu.

“Pada asalnya saya hanya ingin mencuba nasib kerana penyertaan ini adalah untuk menguji semula bakat saya setelah meninggalkan dunia pengucapan awam ini ketika bergelar sebagai mahasiswa di sebuah universiti awam,” kata seorang pensyarah agama, Abdullah Long, 36.

Abdullah yang bertanding dalam kategori awam telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Edisi Kelima, baru-baru ini.

Menurut Abdullah, meskipun sibuk dengan tugas hakiki mendidik pelajar di Kolej Profesional MARA (KPM) Bandar Melaka, ia bukan penghalang untuknya menyahut cabaran tersebut, di mana ia turut dibantu dengan sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan pelajarnya.

Dia yang menetap di Serkam, Jasin berkata, untuk menghadapi pertandingan itu, dia telah melakukan persiapan selama dua minggu, antaranya merangka teks pidato dan menghafalnya.

“Sepanjang tempoh persiapan, saya berdepan pelbagai cabaran kerana dalam tempoh itu saya dan rakan pensyarah lain terlibat dalam bengkel pemukiman untuk menyiapkan soalan-soalan peperiksaan akhir pelajar.

“Dalam keadaan sibuk dengan pelbagai program, merangka soalan dan mengajar saya perlu bahagikan masa dengan bijak untuk menghafal teks pidato yang disiapkan.

“Alhamdulillah dengan sokongan positif daripada rakan-rakan dan kebenaran dari ketua jabatan saya dapat mengharunginya dan lebih manis, pengorbanan itu diakhiri dengan kejayaan yang cukup bermakna untuk saya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menceritakan pengalamannya, Abdullah berkata, dia pernah menggondol pelbagai kejayaan dalam pelbagai pertandingan ketika menyertai pertandingan debat di universitinya lebih sedekad lalu.

Namun, ujarnya, ini merupakan kali pertama dia menyertai pertandingan pidato seumpamanya.

“Pertandingan ini (pidato) menjadi pilihan saya sebab saya mahu melihat keterampilan saya dalam bidang pengucapan dan untuk melihat apakah cara penyampaian saya selama ini sebagai pensyarah mampu difahami pelajar-pelajar saya di kuliah.

“Meskipun lebih ramai peserta yang hebat dan disertai oleh anak muda yang masih ‘panas’ dalam bakat mereka saya tetap cuba untuk memberanikan diri untuk menguji adakah bakat itu masih ada pada saya atau tidak,” katanya.

Selaku juara bagi kategori awam, Abdullah membawa pulang wang tunai RM3,000, sijil penyertaan dan tiket tajaan Menara Taming Sari, Bayou Lagoon serta Muzium Samudera.

Manakala, bagi juara keseluruhan, dia membawa pulang piala pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, sijil penyertaan, tajaan bufet Hi-Tea dan penginapan di hotel.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

196
Kongsi :
Previous post DURIAN TUNGGAL SEMAKIN ‘RIUH’
Next post BAKAL SISWAZAH DUN AYER LIMAU DAPAT SUNTIKAN SEMANGAT
Ubah saiz-+=