Sorting by

×

Penolong pegawai perubatan dituduh 14 pertuduhan rasuah

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 24 Mac – Seorang penolong pegawai perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas 14 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM28,000 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Zamry Yazid, 46, yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Jasin membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, Mohd Zamry didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan terlibat dalam permohonan pembekalan, penyediaan sebut harga peralatan perubatan.

Tertuduh telah memperakukan tuntutan bayaran kepada Syarikat Pella Maju Enterprise milik saudaranya, Norfazilah Yazid melalui 14 baucar Arahan Pembayaran bagi pembekalan pelbagai peralatan perubatan yang keseluruhannya berjumlah RM27,901 ke Pejabat Kesihatan Daerah Jasin.

Mohd Zamry didakwa melakukan kesalahan itu antara 9 Oktober 2018 hingga 12 November 2018 mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan berikutan menjaga ibunya yang menghidap strok dan adik perempuannya orang kelainan upaya (OKU).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula 21 April depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

803
Kongsi :
Previous post Sasar 70 peratus syarikat usahawan sertai platform ‘Easy Shop Melaka’
Next post BKSU siasat kemalangan helikopter di Subang
Ubah saiz-+=