Penjual kuih didenda RM5,000 sebar berita palsu
AYER KEROH 2 Sept – Seorang penjual kuih didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebarkan berita palsu berhubung kematian sebuah keluarga akibat COVID-19 pada 26 Mei lalu.
Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin dalam penghakimannnya memerintahkan tertuduh, Mohd Affendi Kamal, 39, dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Mohd Afendi didakwa menggunakan Facebook atas nama ‘Fendi Kamal’ dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam, telah membuat hantara berita tidak benar, di sebuah rumah di Kampung Panchor, dekat sini pada jam 9 pagi, 26 Mei lalu.
Berdasarkan hantaran itu, tertuduh menulis ‘Kuarantin dekat rumah sebab tiada symtoms. Satu family… Sepatutnya kena pergi temujanji dengan KKM untuk ujian saringan tapi mereka sekeluarga tidak hadirkan diri. Bila KKM datang ke rumah semua dah mati dalam rumah’ sambil disertakan gambar beberapa individu lengkap berpakaian alat pelindung diri (PPE).
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No.2) 2021, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan berterusan selepas sabitan boleh didenda selanjutnya tidak lebih RM1,000 setiap hari selama kesalahan dilakukan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad memohon hukuman berat kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius ketika negara dilanda wabak COVID-19 dan supaya menjadi pengajaran kepadanya dan orang awam.
Mohd Affendi yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon denda rendah dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap selain menanggung isteri dan anaknya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.