Penjual jagung cawan kini pelopor jenama Hang Boba
BANDARAYA MELAKA 6 Mac. – Siapa sangka seorang penjual jagung cawan dan wafel secara kecil-kecilan suatu ketika dahulu kini mampu melebarkan sayap menjadi seorang pelopor jenama minuman terbaharu di negeri ini.
Itu kejayaan anak jati Melaka, Norfazlinda Tambi Chek,33, yang kini menjadi pengasas jenama Hang Boba yang bertapak di Jalan Hang Tuah, di sini.
Norfazlinda berkata, minatnya yang mendalam terhadap dunia perniagaan sejak menamatkan persekolahan menjadi pencetus kepada idea membuka kedai pertama itu pada 10 Februari lalu.
Menariknya, ibu kepada tiga anak itu turut menjadi pengusaha minuman boba berasaskan gula melaka yang pertama di negara ini.
“Saya memang peminat gula melaka sejak dari dulu. Jadi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, saya tidak buat apa di rumah dan mulalah mencuba pelbagai resipi berasaskan gula melaka.
“Dari situ saya mendapat idea menghasilkan minuman boba ini dan akhirnya selepas sekian lama menanti, impian itu akhirnya direalisasikan tahun ini,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.
Meskipun berdepan saingan sengit dalam perniagaan berasaskan minuman, namun Norfazlinda tidak menganggap ia sebagai satu kelemahan.
Sebaliknya dia bertekad untuk menjadikan setiap saingan dan cabaran sebagai pembakar semangat untuknya menjadi ahli perniagaan bumiputera berjaya.
“Kebanyakan pengusaha minuman seperti ini banyak dimonopoli oleh satu kaum sahaja di negara ini, sebab itulah saya beranikan diri untuk menjadi antara pengusaha bumiputera yang mahu memberi saingan secara sihat.
“Lagipun setiap kedai mempunyai menu tersendiri. Seperti di Hang Boba, kami mempunyai minuman istimewa kami sendiri iaitu Onde-onde Gula Melaka dan Gula Melaka Series, selain turut memperkenalkan minuman bukan berasaskan susu, iaitu Sparkling Poppins.
“Selain itu, kami turut memperkenalkan pelbagai snek ringan seperti Quesadilla, Chilli Chicken, Nachos, Cheezy Ball dan bermacam-macam lagi,” katanya.
Sempena pembukaan outlet sulungnya itu, 1,000 minuman Gula Melaka Fresh Milk diberikan percuma kepada orang ramai hari ini, selain Norfazlinda turut memaklumkan akan membuka lima cawangan Hang Boba termasuk di Johor dan Negeri Sembilan dalam tempoh sebulan lagi.
Mengakhiri perbualan, dia sempat menitipkan pesanan kepada semua peniaga di seluruh negara agar tidak cepat berputus asa walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang pandemik COVID-19 ketika ini.
“Walau apa yang terjadi, jangan sesekali putus asa. Biar kita jatuh terduduk sekalipun, kita mesti kuat dan bangkit semula demi diri sendiri dan keluarga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.