Sorting by

×

Penjual durian dakwa rugi RM178,132 akibat pelaburan tidak wujud

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KUANTAN 17 April. – Seorang peniaga durian di Raub mendakwa kerugian RM178,132 setelah menyertai pelaburan tidak wujud yang diperkenalkan rakan media sosial yang baru dikenali bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 28 tahun itu mendakwa berkenalan dengan seorang wanita menerusi aplikasi Momo pada 19 Mac lalu, disusuli dengan perbualan melalui WhatsApp.

MOHD Wazir… mangsa mendakwa berkenalan dengan seorang wanita menerusi aplikasi Momo dan diperkenalkan pelaburan dengan pulangan hebat. Foto kredit Facebook Polis Pahang.

“Wanita itu dikatakan telah berkongsi maklumat pelaburan dengan jaminan pulangan hebat menyebabkan mangsa yang ingin mencuba, telah ke pautan laman web diberikan suspek dan melabur RM500.

“Mangsa mendakwa menerima keuntungan RM807 beberapa hari selepas melabur, menyebabkan dia bersetuju dengan cadangan suspek untuk menggandakan pelaburan kepada RM200,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa bagaimanapun hanya mendepositkan wang berjumlah RM178,132 melalui 17 transaksi dalam talian ke empat akaun berbeza yang oleh diberikan suspek mulai hujung Mac hingga awal April lalu.

Mangsa mendakwa dirinya turut menerima pesanan WhatsApp daripada nombor tidak dikenali memaklumkan pelaburan dibuatnya ‘berjaya’ memperoleh keuntungan RM218,715.

“Bagaimanapun, mangsa mendakwa tidak dapat mengeluarkan wang itu atas alasan masalah teknikal sistem pelaburan dan diminta menjelaskan bayaran 50 peratus daripada jumlah keuntungan menyebabkan dia berasa ditipu,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub kira-kira 232 kilometer dari sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

588
Kongsi :
Previous post Lapan individu ditahan, dalang video promosi judi diburu
Next post KPDNHEP P.Pinang rampas gas LPG bernilai RM22,500
Ubah saiz-+=