
PENJENAMAAN SEMULA SJKC SIMPANG BEKOH SEDANG DIPERINCI
SERI NEGERI 28 April – Penjenamaan semula nama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKC) Simpang Bekoh kepada SJKC Laksamana Cheng Ho perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk manfaat akan diterima pihak sekolah jika perkara itu dilaksanakan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, cadangan itu bagaimanapun telah mendapat persetujuan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong selepas sesi libat urus diadakan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.
“Beliau secara dasarnya bersetuju dengan hasrat Kerajaan Negeri bagi tujuan penjenamaan semula SJKC Simpang Bekoh kepada kepada SJKC Laksamana Cheng Ho.
“Akan tetapi perlu mengambil kira manfaat yang akan diterima oleh sekolah apabila nama ditukar selain daripada meninggalkan legasi warisan nama sekolah yang asal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Low Chee Leong (PH- Kota Laksamana) mengenai status cadangan penjenamaan semula sekolah kepada SJKC Laksamana Cheng Ho pada Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri di sini, hari ini.
Dalam pada itu Rahmad berkata jabatan pendidikan negeri juga telah mengadakan sesi libat urus bersama Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan Ahli Jawatankuasa Persatuan (AJK) PIBG SJKC Simpang Bekoh bagi membawa hasrat yang sama.
“Adalah dimaklumkan bahawa sekolah ini adalah sekolah kurang murid (SKM) yang mempunyai 11 murid (dua murid Cina dan sembilan murid Melayu) dan tujuh guru adalah tidak ekonomi bagi menguruskan sebuah sekolah ini.
“Oleh itu, LPS sekolah bercadang mendapatkan tanah untuk penempatan sekolah baharu bagi memberikan peluang yang lebih kepada murid-murid yang hendak bersekolah di sekolah Cina ini.
“Namun hasil sesi libat urus tersebut terdapat beberapa cadangan yang dikemukakan LPS seperti menerima nama baharu dengan mengekalkan nama asal. Contohnya, SJKC Laksamana Cheng Ho (Simpang Bekoh) atau SJKC Laksamana Cheng Ho@Simpang Bekoh.
“Atau menerima nama baharu tanpa mengekalkan nama asal (SJKC Laksamana Cheng Ho) dengan syarat mewujudkan sebuah bilik sejarah sekolah di sekolah baharu tersebut bagi menyimpan semua dokumen berkaitan dengan sejarah SJKC Simpang Bekoh,” katanya.
Tambahnya jabatan pendidikan kini sedang memperhalusi perkara itu dan status terkini penjenamaan masih di peringkat perbincangan bersama mana-mana LPS sekolah yang berminat.
“Ini dengan hasrat Kerajaan Negeri dengan hati yang terbuka demi mengukuhkan hubungan China dan Negeri Melaka yang sedia terjalin sejak 600 lebih tahun dahulu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.