Penjenamaan semula Melaka Energy Park anjakan paradigma Petronas- Exco Kanan
SUNGAI UDANG 4 Mei – Petronas Penapisan Melaka atau Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB) yang dijenamakan semula sebagai Melaka Energy Park dilihat sebagai anjakan paradigma buat Petronas.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata penjenamaan semula itu dilihat positif dan disambut baik oleh Kerajaan Negeri dan warga sekitar Sungai Udang.
Beliau yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang berkata dengan meletakkan nama Melaka pada jenama pengendali tapak penapisan terbesar di negara itu ia turut disifatkan sebagai perkara yang membanggakan.
“Melaka Energy Park, penjenamaan itu selari dengan pengoperasiannya selama 30 tahun di Sungai Udang.
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan pertukaran nama dengan membawa nama Melaka dalam jenama yang diyakini dan disegani.
“Perkara ini saya lihat, ia adalah satu anjakan paradigma yang dilakukan pihak Petronas untuk mengukuhkan lagi posisi mereka sebagai salah satu pemain industri berkaitan minyak petroleum di Malaysia dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Sungai Udang di Japerun Sungai Udang malam tadi.
Mengulas lanjut, Rais berkata dari sudut pandang sosioekonomi, pihaknya mengharapkan jenama tersebut dapat terus bertahan seterusnya membuka peluang ekonomi kepada warga tempatan.
“Kita harapkan Petronas yang sudah 30 tahun bertapak di Sungai Udang ini akan terus beroperasi di sini dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
“Bukan sahaja kepada penduduk sekitar bahkan membuka peluang untuk kontraktor-kontraktor kecil Bumiputera,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.