Penjenamaan Perzim berkonsepkan ekopelancongan
BANDA HILIR 10 April – Penjenamaan baharu Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) akan berkonsepkan ekopelancongan seiring dengan perkembangan industri pelancongan negeri ketika ini.
Tanpa memaklumkan butiran lanjut mengenai perkembangan itu, EXCO Pelancongan Negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, rancangan mengenainya kini dalam peringkat akhir pelaksanaan.
Katanya, konsep baharu Perzim itu akan diumumkan pihaknya pada masa terdekat ini.
“Kita sedang perhatian perkembangan baharu mengenai Perzim ini malah simbol baharu juga sudah siap.
“Pada masa ini kita dalam memuktahirkan pelaksanaan baharu ini yang mana Perzim akan ada ekopelancongan pada masa akan datang.
“Jadi tunggulah bagaimana pelaksanaan konsep eko-Tourism dengan Perzim nanti, kita akan umumkan tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Bufet Ramadan Nostalgia Selera Kampung The Straits Hotel & Suites Melaka di sini.
Lebih 50 menu masakan kampung terdiri daripada kambing golek, sate, gulai udang, mee kari, kerabu ikan masin dan pelbagai kuih tradisional Melayu ditawarkan pada harga RM98 dewasa manakala RM49 bagi kanak-kanak dan warga emas.
Muhammad Jailani mengulas mengenai perkembangan penjenamaan semula Perzim yang dirancang sebelum ini.
Melaka Hari Ini (MHI) dimaklumkan penjenamaan Perzim berkonsepkan eko-Tourism ini lebih kepada produknya yang berkaitan dengan sumber alam semula jadi.
Misalnya, Pulau Nangka yang merupakan pulau milik Perzim akan dinaik taraf dan dimajukan sebagai produk ekopelancongan seperti aktiviti perkemahan dan menyelam tanpa diadakan sebarang pembinaan kekal di kawasan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.