Sorting by

×

Penjawat awam tular di TikTok sokong Israel, dicekup polis

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDA HILIR 19 Mei. – Seorang penjawat awam yang membuat provokasi menyokong secara terbuka terhadap kekejaman rejim zionis Israel sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai dipercayai memuat naik video ke media sosial berkenaan di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 11.13 pagi semalam memaklumkan video tular lelaki berusia 31 tahun yang didakwa menyokong kekejaman rejim Israel.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek memuat naik video menerusi aplikasi TikTok berdurasi 59 saat menggunakan nama @pahlawan90 dengan menyatakan sokongan terhadap rejim zionis itu.

KETUA Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad.

“Video tular itu menimbulkan reaksi negatif masyarakat berikutan dilihat menyentuh sensitiviti agama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Berikutan itu, suspek diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bagi merekodkan keterangan semalam sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Afzanizar berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan dia direman dua hari bermula hari ini hingga Jumaat bagi membolehkan siasatan secara berasingan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya.

“Siasatan lanjut mendapati suspek memuat naik video berkenaan di bawah pengaruh dadah dan berikutan itu polis merampas telefon bimbit dipercayai digunakannya ketika kejadian.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana memuat naik video menyentuh sensitiviti agama,” katanya.

Dalam pada itu, Afzanizar menasihatkan orang ramai supaya menggunakan platform media sosial dengan bertanggungjawab tanpa membuat sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan masyarakat yang berbilang kaum.

Sebelum ini tular rakaman video berdurasi 59 saat di aplikasi TikTok yang dimuat naik seorang penjawat awam dipercayai kakitangan penjara Sungai Udang, di sini, berhubung pendiriannya yang secara terbuka menyokong kekejaman rejim Israel terhadap masyarakat Palestin.

Video itu mendapat perhatian netizen dan menimbulkan rasa kurang senang rakyat Malaysia yang menganggap individu berkenaan tidak sensitif dengan isu global yang sedang berlaku ketika ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

888
Kongsi :
Previous post “Arwah tiba-tiba menjadi sangat manja – Ibu kanak-kanak lemas
Next post PKP penuh: Selangor bukan negeri parah- Dr Dzulkefly
Ubah saiz-+=