Penjawat awam perlu beri komitmen jitu jayakan TMM2024, WTD2025 – SUK Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDA HILIR 16 November – Penjawat awam di negeri ini diharapkan dapat memberikan komitmen dan kerjasama jitu antara jabatan serta agensi untuk menghadapi tugasan ‘besar’ pada dua tahun mendatang.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari berkata, tugasan ‘besar’ terbabit adalah Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) diikuti Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Dunia atau World Tourism Day 2025 (WTD 2025).

Katanya, bersempena TMM2024, semua penjawat awam telah sedia maklum pelbagai acara telah dirancang bagi meraikan pelancong yang berkunjung ke Melaka.

“Saya berharap agar semua penjawat awam di negeri ini telah bersedia menghadapi tugasan ‘besar’ ini.

“Persiapan sepatutnya telah bermula dan ia hendaklah berterusan sehingga pada hari kejadian dan saya yakin semua petugas serta seluruh penjawat awam di negeri ini mampu melaksanakan yang terbaik demi Negeri Melaka tercinta ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Petugas-Petugas Majlis Rasmi Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2023, di sebuah hotel, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Maslina Baki; Ketua Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Fauzi Elham@Aihim; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian negeri, Datuk Noraini Tawel dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, komitmen sama juga perlu diteruskan pada tahun 2025 sempena WTD 2025 yang menyaksikan Melaka bakal menjadi tumpuan negara pelancongan seluruh dunia.

“WTD 2025 itu nanti sebanyak 120 negara anggota akan berada di Melaka dan sudah pasti negeri ini menjadi tumpuan dunia.

“Namun saya percaya hal ini tidak menjadi beban kepada mana-mana pihak memandangkan kerjasama erat yang telah terjalin antara jabatan dan agensi menjadikan tugasan yang diberi dapat dilaksanakan dengan teratur dan jayanya, walaupun ada kalanya kita terpaksa berhadapan dengan kekangan masa untuk menjayakan sesuatu program,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

819
Kongsi :
Previous post Anak lembu jatuh parit diselamatkan
Next post RM2.33 juta diperlukan baik pulih cerun runtuh
Ubah saiz-+=