Penjawat awam Melaka terima Bantuan Khas Penghargaan RM300 – KM

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 3 Ogos – Seramai 7,190 penjawat awam Negeri Melaka bakal menerima Bantuan Khas Penghargaan berjumlah RM300 daripada Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan khas itu akan diberikan kepada kakitangan Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri.

Jelas beliau, bantuan dengan peruntukan RM2.157 juta bakal diterima penjawat awam negeri sebelum 10 Ogos.

“Bantuan ini sebagai tanda menghargai penjawat-penjawat awam di negeri ini. Diharap dengan bantuan bernilai RM300 ini dapat memberi sedikit kegembiraan kepada penerima.

“Kita berikan bantuan ini selaras dengan hasrat Kerajaan Persekutuan yang mahu setiap Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan kepada penjawat awam di negeri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Bagi Bulan Ogos 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem, barisan Exco serta Timbalan Exco.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bantuan Khas Penghargaan sebanyak RM300 kepada Penjawat Awam.

Manakala, sebanyak RM200 pula diberikan kepada pesara kerajaan termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

Sementara itu, Ab Rauf dalam ucapannya meminta penjawat awam di negeri ini sentiasa meningkatkan momentum dan pencapaian diri serta jabatan.

Katanya, ia bagi memastikan segala Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sentiasa dicapai dan pencapaian itu perlu jauh lebih tinggi berbanding dengan apa yang telah ditetapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3051
Kongsi :
Previous post Arca joran bernilai RM500,000 dibina di Pantai Puteri
Next post Martabat seni pantun guna platform digital
Ubah saiz-+=