Sorting by

×

PENJAWAT AWAM MELAKA DAPAT DUA BANTUAN KHAS KEWANGAN

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

SERI NEGERI 27 Disember – Penjawat awam Negeri Melaka bakal menerima dua bantuan khas kewangan, umum Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut Ketua Menteri, dua bantuan itu adalah berjumlah RM1,600 dan setengah bulan gaji atau minimum RM1,000, di mana pemberian kali ini disifatkan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Menariknya, pengumuman istimewa ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 itu disampaikan dalam bentuk dua rangkap pantun.

“Dari Semabok menuju Peringgit,
Singgah membeli kayu sugi;
Awalnya nak bagi seribu dua ratus ringgit,
Akhirnya dapat tambah empat ratus lagi.

“Cantik dan kemas tudung saji,
Tempat simpan masakan ibu;
Kita bagi setengah bulan gaji,
Paling minimum dapat seribu.”

Tambah Ketua Menteri, pemberian itu akan disalurkan pada hujung Disember tahun ini dan pada Februari 2025.

“Saya berharap pemberian Bantuan Khas Kewangan ini akan menyuntik semangat penjawat awam untuk terus komited bersama-sama kepimpinan kerajaan negeri untuk melaksanakan perancangan tahun 2025 demi pembangunan negeri Melaka ke arah masa depan yang lebih gemilang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh memaklumkan, bantuan khas kewangan itu akan dirasai seramai 5,231 penjawat awam negeri dengan implikasi kewangan berjumlah RM7.5 juta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1210
Kongsi :
Previous post JEJANTAS TUN TEJA NAMA BAHARU JEJANTAS MELAKA SENTRAL
Next post MELAKA APLIKASI AI DALAM PEMBANGUNAN BANDAR PINTAR
Ubah saiz-+=