Penjawat awam Melaka dapat ‘bonus raya’ setengah bulan gaji

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 28 April. – Kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan khas kewangan Aidilfitri sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada kesemua 5,169 penjawat awam di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, bantuan itu diberikan selepas mendapatkan pandangan dan persetujuan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini.

“Bantuan ini kita berikan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan kesemua penjawat awam di negeri ini. Saya sayangkan semua penjawat awam di negeri ini.

“Selepas saya perhalusi dan dapatkan pandangan semua dan melihat kepada kebolehupayaan kewangan, kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan khas setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam negeri, pekerja sambilan harian (PSH) dan pekerja kontrak di negeri ini.

“Kesemua bayaran itu akan dimasukkan pada gaji bulan Mei nanti iaitu pada 6 Mei sebelum hari raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Zaidi Johari.

Sulaiman berkata, sebelum ini beliau memberi kenyataan tiada bantuan khas atau bonus raya bagi penjawat awam Melaka kerana masih belum mendapatkan sebarang maklumat berhubung kewangan negeri.

Namun, kenyataan itu bukanlah menggambarkan tiada langsung pemberian akan diberikan sebaliknya ia bergantung sama ada cepat atau lambat.

“Seperti tahun lalu, saya tidak beri bantuan khas penjawat awam ketika Hari Raya Aidilfitri, sebaliknya kita berikan ketika Hari Raya Aidiladha. Saya ingat tahun ini nak buat kejutan sama seperti tahun lalu.

“Tetapi selepas mendapat maklumat dan penjelasan serta mendapatkan persetujuan semua, keputusan ini bukan saya buat seorang. Jadi akhirnya kita bersetuju untuk memberikan bantuan khas pada hari raya ini.

“Saya berharap ia dapat meringankan beban penjawat awam dan pada masa sama saya juga berharap semua penjawat awam membelanjakan wang bantuan itu sebaik-baiknya terutama untuk keluarga dan ibu bapa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1119
Kongsi :
Previous post PT3 2021 dibatalkan, UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021
Next post Judi dalam talian: PDRM semak semula siasatan pembebasan Addy Kana, dua anggota polis
Ubah saiz-+=