Penjawat awam Borneo jadi anak angkat kenali budaya Melaka
GADEK 21 Ogos – Program Jalinan Integrasi Nasional Penjawat Awam diyakini mampu menitipkan mesej perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat serta mengenepikan perbezaan antara kaum di negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Che Roslan Che Daud berkata, program dijalankan menggunakan pendekatan menempatkan peserta penjawat awam di rumah keluarga angkat terpilih mampu membawa pengalaman bagi perbezaan budaya dalam sesebuah masyarakat.
Beliau berkata, Melaka telah terpilih sebagai antara negeri di Semenanjung Malaysia bagi menjalankan program berkenaan selepas program sama berlangsung di Sabah sebelum ini.
“Seramai 41 penjawat awam berasal dari Sabah dan Sarawak terpilih untuk ditempatkan bersama 18 keluarga angkat mereka bagi mengenali Melaka yang mempunyai pelbagai budaya, adat resam percakapan, masakan dan sebagainya, untuk kita pastikan setiap peserta mampu berasimilasi dalam perbezaan kaum dan budaya.
“Program memasuki siri kedua dijalankan di Melaka ini akan disusuli selepas ini di Sarawak membabitkan yang turut membabtikan penjawat awam.
“Program ini akan dilaksanakan berterusan di mana kita telah menjenamakan semula kali ini dan sebelum ini kita pernah menganjurkan membabitkan penglibatan mahasiswa seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Jalinan Integrasi Nasional Penjawat Awam 2023 dirasmikan oleh Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem.
Program diadakan di Balai Raya Kampung Gadek, itu turut dihadiri Pengarah JPNIN negeri, Intan Suhana Yusuff.
Program Jalinan Integrasi Nasional Penjawat Awam yang dilaksanakan selama tiga hari dua malam sejak 18 Ogos lalu memberi pendedahan kepada peserta tentang kehidupan masyarakat kampung seperti kenduri rakyat, mengoca serta sukan rakyat di Gadek.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.